Monday, January 25, 2016

Kami tidak lupa diri walaupun dapat RM1 juta’

Kami tidak lupa diri walaupun dapat RM1 juta’
Abu Bakar tetap menjual kuih-muih bersama isterinya yang menjadi rutin mereka sejak lebih 20 tahun lalu.


KUANTAN  -  “Kehidupan pakcik dan isteri, Nori Hashim, 55, masih seperti biasa walaupun mendapat bayaran RM1 juta selepas ladang sawit dilombong pada Jun tahun lalu," kata peneroka Felda Bukit Goh, Abu Bakar Mat Ali, 67.

Menurutnya, dia tetap menjual kuih-muih bersama isterinya yang menjadi rutin mereka sejak lebih 20 tahun lalu.

Menurutnya, tidak timbul soal lupa diri atau sebagainya kerana dia tidak pernah mengimpikan mendapat sejumlah wang yang banyak di usia emasnya.

Menceritakan permulaan dia didekati pengusaha lombong, Abu Bakar berkata, dia dihubungi beberapa pengusaha lombong bauksit tahun lalu yang memujuknya supaya memajakkan tanahnya untuk perlombongan bauksit.

“Pada peringkat awal, pakcik tidak bersetuju sehinggalah dihubungi pengusaha kesembilan yang memberi jaminan dan dengan perjanjian yang dibuat.

“Mungkin rezeki ini sudah ditakdirkan untuk pakcik dan makcik selepas berpuluh tahun kami mengusahakan ladang sejak 1970.

“Pada permulaan, pakcik terima bayaran deposit sebanyak RM200,000 sebelum mendapat bayaran penuh baru-baru ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Felda Bukit Goh.

Abu Bakar memberitahu, sebelum bersetuju dengan perjanjian ditandatangani, dia terlebih dahulu telah berbincang dengan sembilan anaknya sehinggalah mereka turut bersetuju.

Beliau berkata, ladang seluas 2.8 hektar itu, mula dilombong pertengahan tahun lalu dan kini prosesnya sudah hampir selesai.

“Pakcik anggap ini juga adalah rezeki anak cucu juga.

"Pada usia begini, tidak banyak yang pakcik ingin lakukan.

“Bagaimanapun, pakcik merancang untuk membawa kesemua anak-anak mengerjakan umrah sebagai tanda kesyukuran,” katanya.

Warga emas itu berkata, dia bersyukur kerana berurusan dengan pengusaha yang menepati janji kerana ada sesetengah rakannya teraniaya dengan perjanjian ditandatangani.

No comments: