Tindakan membakar buku perlembagaan UMNO itu diambil kerana merasakan buku tersebut sudah tidak berguna.
KUALA LUMPUR: Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) merancang untuk membakar buku perlembagaan UMNO secara besar-besaran.
Ugutan tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden GKCM, Datuk Mohd Zin Mustapa sekiranya UMNO terus membisu berhubung tindakan ke atas ‘pemberontak’ dalam kalangan UMNO Kedah.
“Kalau tidak ada tindakan selanjutnya, kami akan terus lakukan sehingga kami puas hati.
“Kemungkinan buat bantahan besar-besaran atau demonstrasi membakar perlembagaan UMNO,” ujarnya sewaktu ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Zin menyatakan tunjuk perasaan itu perlu diambil kerana merasakan buku tersebut sudah tidak berguna.
“Kalau buku ini tidak boleh digunakan, lebih baik kita bakar,” katanya lagi.
Jelasnya, adalah tidak adil sekiranya ahli yang mendesak Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan dihukum sebaliknya ahli yang mendesak Mukhriz Mahathir pula tidak dikenakan sebarang tindakan.
“Jawatan kami sebagai ketua dilucutkan. Sehubungan dengan itu kami mohon tindakan sama dapat diambil ke atas mereka yang buat sidang media mengkritik Mukhriz,” kata beliau lagi.
Tempat dan masa penganjuran tunjuk perasaan itu masih belum didedahkan.
No comments:
Post a Comment