Tuesday, January 26, 2016

Exco percaya Najib nilai permintaan geng anti-Mukhriz

Exco percaya Najib nilai permintaan geng anti-Mukhriz
Tajul Urus (tiga, kiri) menyampaikan hamper Tahun Baru Cina kepada warga emas




SUNGAI PETANI - Kemelut politik Kedah dijangka selesai secepat mungkin dengan perubahan dalam kepimpinan negeri iaitu mendapat Menteri Besar baharu yang lebih pengalaman dan berwibawa.

Exco Pendidikan dan Pengangkutan, Datuk Tajul Urus Mat Zain percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menimbang permintaan 14 ketua Umno bahagian agar Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir diganti.

Yakin isu itu dapat diselesaikan secepat mungkin, beliau menyatakan persetujuan dengan keputusan yang dibuat ketua bahagian terbabit khususnya berhubung perpaduan parti.

"Saya percaya siapa sahaja yang akan menggantikan Mukhriz adalah calon yang mendapat konsensus dari semua ketua bahagian.

"Sebab itu saya melihat isu utama hari ini ialah soal parti. Jika parti tidak memberi sokongan, bagaimana hendak mengatur jentera. Dengan perubahan ini, tokoh itu dapat membuat keputusan dengan baik," katanya kepada media selepas menyampaikan hamper Tahun Baru Cina di Pekan Semeling, di sini, hari ini.

Tajul Urus yakin soal pentadbiran kerajaan negeri tidak akan terjejas kerana siapa sahaja yang menjadi Menteri Besar sudah pasti akan dibantu barisan Exco yang  berkelayakan dan berpengalaman mengikut bidang masing-masing.

"Saya harap rakyat Kedah akan menerima keputusan yang dibuat oleh pucuk kepimpinan.

"Kita akan sama-sama membantu Menteri Besar baharu untuk membangunkan Kedah sebagai negeri yang aman dan makmur serta mendapat perhatian sewajarnya dari pusat," katanya.

Ditanya langkah melantik Menteri Besar baharu akan menjejaskan keputusan PRU akan datang, beliau yang juga Adun Tanjong Dawai berkata, tidak akan berlaku perubahan besar.

"Saya yakin apa yang dibuat adalah untuk mengukuhkan sokongan dan keyakinan untuk menghadapi PRU. Kepincangan akan berlaku jika tiada pembetulan dilakukan walaupun di pertengahan jalan," katanya.

Selaku wakil rakyat dan exco, beliau percaya tindakan itu bukan satu hukuman kepada Mukhriz tetapi mungkin ada hikmah di sebaliknya. Mungkin Perdana Menteri memberi kenaikan pangkat kepadanya.

"Kami tidak mahu Mukhriz dilepaskan begitu sahaja. Sebaliknya, saya yakin Perdana Menteri mempunyai perancangan lebih baik  untuk Mukhriz kerana beliau adalah seorang pemimpin muda yang berpotensi," katanya.


1 comment:

77777 said...
This comment has been removed by a blog administrator.