Tuesday, January 19, 2016

Charles Santiago cabar Mustapha jawab 15 persoalan TTPA

charles-santiago-parlimen (Custom)

Oleh Fatih Hassan Nordin


PETALING JAYA : Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mencabar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri(MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk menjawab 15 soalan berbangkit mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

“Saya akan mengajukan lima soalan sehari, sebanyak 15 soalan akan diajukan untuk tiga hari berikutnya kepada Mustapha,” katanya yang turut mengajak Mustapha berdebat mengenai persoalan berkenaan.

Ia berikutan, beliau pada sidang media di Pejabat DAP Selangor di sini, hari ini, berkata percanggahan kenyataan beberapa negera yang menyertai perjanjian berkenaan mengundang kekeliruan rakyat.

Antaranya, katanya, tempoh paten farmaseutikal yang dinyatakan Mustapha ialah lima tahun tetapi ia bercanggah dengan kenyataan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang menyatakan tempoh paten biologi itu dilindungi selama lapan tahun.

“Bagaimana ia boleh berlaku sedangkan negara terlibat berbincang mengenainya selama lima tahun? Adakah kerajaan membangkitkan isu ini dalam proses pembentukan perundangan?

“Bagaimana kerajaan dapat menyelesaikan kekeliruan ini? Adakah Malaysia akan mengubah komitmen terhadap perjanjian itu dari lima tahun ke lapan tahun jika didesak AS?” katanya.

Malah, Charles berkata, Perdana Menteri New Zealand, John Key menyatakan harga ubat akan melambung tinggi jika TPPA dilaksanakan, berbeza dengan kenyataan Mustapha yang mendakwa harga ubat bergantung kepada nilai mata wang.

“Adakah kerajaan bersetuju dengan John Key? Adakah fenomena itu tidak melanggar Dasar Ubat Nasional (DUNas) yang menetapkan harga ubat harus berpatutan untuk setiap rakyat,” katanya.

Lebih buruk, katanya, Pembekal khidmat internet (IPS) dibenarkan untuk membuat satu server khas bagi menyimpan maklumat berkaitan pengguna internet, sekaligus menceroboh ruang peribadi pengguna.

“Mengapa Malaysia bersetuju dengan penetapan berkenaan yang membenarkan rakyat diintip pihak luar?” katanya.

“Adakah kerajaan bersedia untuk membayar pampasan besar kepada pelabur asing jika kerajaan kalah?” katanya sambil menambah, kerajaan harus menjelaskan mekanisme bayaran jika kerajaan negeri disaman syarikat asing.

“Jika Kerajaan Negeri disaman, adakah kerajaan akan mengarahkan kerajaan negeri membayar saman berkenaan, dan jika tidak, bagaimana mekanisme bayaran itu dijalankan,” katanya.

Beliau juga bimbang kira-kira 30 peratus atau 195,000 Perusahan Kecil dan Sederhana (SME) bakal gulung tikar dan tertanya-tanya sama ada kerajaan Pesekutuan ada menyediakan dana pemulihan jika ia berlaku.


No comments: