shahbudindotcom
Sejak
awal lagi sebaik saja timbul isu pemberontakan politik di Kedah yang
mahukan kedudukan Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi
Perhubungan UMNO Kedah ditukar, ia segera dikaitkan dengan kehendak
Najib Razak sendiri.
Ia
bukan saja kerana Najib memang bermasalah dengan bapa Mukhriz, Tun
Mahathir Mohamad tetapi juga kerana hampir semua "muka-muka" di belakang
gerakan itu adalah penyokong setia Najib belaka.
Kata
mereka yang arif dalam politik, tidak mungkin mereka itu begitu berani
mengadakan gerakan mahu menolak Mukhriz dan mewujudkan kemelut baru
dalam politik UMNO, jika tidak mendapat restu daripada Najib sendiri.
Setelah
dua hari kemelut itu berlangsung, pada pukul 4 petang hari
ini pula, Najib dilaporkan akan bertemu dengan 14 Ketua UMNO Bahagian
Kedah yang menolak Mukhriz itu. Pertemuan itu akan diadakan di ibu
pejabat UMNO di Kuala Lumpur.
Dilaporkan turut hadir dalam pertemuan petang ini ialah Exco dan wakil-wakil rakyat Kedah.
Sekali
lagi, timbul persoalan mengapa Najib begitu pantas berjumpa dengan 14
Ketua Bahagian itu terlebih dahulu sebelum mendapatkan maklumat penuh
daripada Mukhriz sendiri?
Bukankah Mukhriz masih lagi Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah?
Tidakkah
mengikut amalan biasa apabila timbul sesuatu masalah di peringkat
negeri, pihak yang patut dipanggil terlebih dahulu untuk diperolehi
maklumat ialah Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO negerinya?
Dalam hal ini, mengapa Najib lebih dahulu ingin bertemu dengan pihak yang menentang dan bukan dengan Mukhriz sendiri?
Mengapa Najib tidak memanggil Mukhriz terlebih dahulu sebelum bertemu dengan 14 Ketua Bahagian itu?
Apakah Najib sudah lupa amalan serta adab dalam menguruskan parti dan kerajaan?
Sejak bila kumpulan penentang mendapat lebih kemuliaan berbanding pemegang jawatan dalam parti dan kerajaan?
Adakah
semua ini "wayang" yang sedang ditayangkan untuk menunjukkan
seolah-olah penyingkiran Mukhriz adalah kehendak 14 Ketua UMNO Bahagian
dan bukan datang daripada naluri Najib?
Bila
pula Najib mahu memanggil Mukhriz? Apakah mungkin Najib akan memanggil
Mukhriz selepas mengadakan pertemuan dengan 14 Ketua Bahagian tersebut?
Bergunalah
lagilah pertemuan dengan Mukhriz jika Najib sendiri sudah membenarkan
dirinya mendapatkan maklumat daripada pihak yang mahu menyingkirkan anak
Tun Mahathir itu terlebih dahulu?
Hakikatnya,
pertemuan petang ini jelas menandakan Mukhriz semakin di hujung jalan.
Tidak lain, pertemuan Najib dengan 14 Ketua Bahagian Kedah itu hanyalah
bertujuan untuk mempercepatkan penyingkiran Mukhriz saja.
3 comments:
Najib tak akan mampu mempertahankan jawatannya. Apa yang dilakukan hanya menambah rasa benci dan dendam kesumat rakyat pada umno. Semuanya akan diterjemahkan oleh rakyat dalam pru nanti.
Najib tak akan mampu mempertahankan jawatannya. Apa yang dilakukan hanya menambah rasa benci dan dendam kesumat rakyat pada umno. Semuanya akan diterjemahkan oleh rakyat dalam pru nanti.
Post a Comment