BERNAMA
Liang berkata, rakyat
Malaysia harus menolak sikap 'kiasi' yang mencerminkan sikap takut
menerima cabaran atau mengambil risiko. - Foto arkib TRP/ Wan Kah Hoong
KUALA LUMPUR, Seorang Ahli Parlimen hari ini mencuri perhatian dengan penggunaan perkataan ‘kiasu’ dan ‘kiasi’ bagi menggambarkan sikap yang seharusnya diambil rakyat Malaysia berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Membahaskan usul TPPA pada sidang khas
Dewan Rakyat hari ini, Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam)
berkata, rakyat Malaysia harus mengamalkan sikap ‘kiasu’ dalam erti kata
tidak mahu kalah dengan memiliki daya saing tinggi, sehingga sanggup
melakukan apa sahaja untuk menang.
“Kita mahu memperjuangkan yang terbaik
untuk negara kita dan saya yakin perunding kita sentiasa mempunyai sikap
kiasu apabila menjalankan rundingan dengan negara lain,” katanya.
Sikap sama, kata Liang, perlu menjadi pegangan rakyat untuk bersama melonjakkan Malaysia menjadi negara maju.
“Semua
pihak perlu yakin dengan kemampuan dan daya saing masyarakat negara
ini,” katanya sambil menambah, dasar tutup pintu dalam ekonomi hanya
akan merugikan negara.
Pada masa sama, kata Liang, rakyat
Malaysia harus menolak sikap ‘kia’ (takut) ‘si’ (mati) – ‘kiasi’ yang
mencerminkan sikap takut menerima cabaran atau mengambil risiko.
“Inilah sikap yang seharusnya ditolak,
kerana dengan sikap ‘kiasi’, kita tidak akan ada budaya saing ke arah
mencapai keputusan cemerlang,” katanya.
Beliau turut berkata, ada segelintir
pihak yang gusar dengan kewujudan Mekanisme Penyelesaian Pertikaian
Pelabur-Negara (ISDS) dalam TPPA, sedangkan ISDS bukan sesuatu yang
baru.
Sehingga kini, negara telah menandatangani 74 perjanjian pelaburan dua hala dan lapan FTA yang mengandungi mekanisme ISDS.
Tegasnya, TPPA akan memberi manfaat
kepada Malaysia dalam jangka panjang dan ke arah itu, negara perlu
menyesuaikan diri dalam persekitaran ekonomi dan perdagangan
antarabangsa yang kian maju dan saling berhubung.
No comments:
Post a Comment