BATU CAVE: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut terlibat di dalam
menjaga keselamatan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves,
Ahad ini, demikian kata Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad.
Menurutnya, penglibatan ATM itu adalah bagi memastikan tahap
keselamatan berada di tahap tertinggi demi menjamin kelancaran sambutan
perayaan berkenaan.
"Mulai hari ini kita sudah mula melaksanakan rondaan bersama Angkatan Tentera Malaysia.
"Pihak polis sudah menyediakan keanggotaan yang secukupnya untuk
melaksanakan tugas pada tahun ini dan kita sudah bersedia melaksanakan
tugas di Batu Caves ini," katanya kepada pemberita di sidang media di
sini hari ini.
Menurutnya, walaupun insiden serangan pengganas berlaku di luar negara,
namun ujarnya pihak polis akan sentiasa bersedia bagi menghadapi segala
bentuk kemungkinan.
"Walaupun kejadian itu berlaku di luar negara di sini kita akan
mempertingkatkan tahap keselamatan di tahap tertinggi seperti mana yang
telah di maklumkan oleh Datuk Ketua Polis semalam bahawa (ia merangkumi)
seluruh Malaysia.. Kita tingkatkan keselamatan bukan di Batu Caves
sahaja," ujarnya.
Kata Ali lagi, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat
sebarang spekulasi yang menyatakan bahawa terdapat ancaman pengganas di
tempat tertentu.
Beliau juga meminta supaya orang ramai memberi kerjasama yang baik kepada pihak keselamatan.
"Bila kita beri arahan ikutlah.. Itu semua bertujuan untuk melancarkan
perayaan di sini sama ada dari segi keselamatan atau lalu lintas. Jangan
sekali kita adakan spekulasi tentang keselamatan menyatakan di sana
bahaya,"ujarnya.
Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Polis Diraja Malaysia
(PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan rondaan bersama
dengan segera untuk memastikan keselamatan rakyat terjamin.
Menerusi entri terbaharu di laman Facebooknya, Perdana Menteri berkata,
langkah pencegahan awal itu diambil berikutan serangan ganas di
beberapa bandar utama di seluruh dunia.
Tambah Najib, orang ramai juga diminta jangan khuatir dan menjalankan aktiviti harian seperti biasa.
Dalam serangan pengganas di Indonesia, Khamis lalu, lapan orang iaitu
empat pengganas dan empat orang awam terkorban, manakala serangan di
Ougadougou, Burkina Faso, Jumaat lalu meragut 28 nyawa dan mencederakan
56 yang lain.
No comments:
Post a Comment