KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen PAS sudahpun diarahkan menolak
Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan dibahaskan di
Parlimen pada Selasa dan Rabu ini.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mana-mana
ahli Parlimennya yang ingkar dengan arahan parti akan dihukum oleh
pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), akan datang.
"Kita (PAS) sudah keluarkan arahan untuk turut semua membantah dan kita
tidak benar Ahli Parlimen PAS yang sokong TPPA dan ini pendirian parti
dan didokongi oleh semua Ahli Parlimen dan kita harap pembangkang lain
pun sama. Bagi saya wakil Umno pun patut lihat ini bukan dalam konteks
parti sahaja tapi dalam konteks masa depan negara.
"Rakyat akan hukum, memang rakyat akan hukum, mana-mana Ahli Parlimen
yang menyokong TPPA ini rakyat akan menghukum mereka untuk tidak memilih
mereka pada PRU14 nanti dan kita akan pandang serius benda ini," kata
Tuan Ibrahim kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Bantah TPPA di
Padang Merbok, Kuala Lumpur hari ini.
Himpunan bantah TPPA hari ini mencatatkan satu lagi kejayaan buat PAS
apabila hampir 10,000 ahlinya hadir di Padang Merbok hari ini.
Rata-rata mereka memakai baju hijau dengan membawa plakad serta kain
rentang yang menggesa kerajaan pemerintah agar tidak menyertai TPPA.
Selain Tuan Ibrahim PAS turut diwakili tiga naib presidennya, Datuk
Amar Nik Mohamad, Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Abdul Samad, Ketua
Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamad, Ketua Penerangan Dewan Ulama,
Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali, Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan
dan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
Rakan kerjasama politiknya, PKR diwakili Naib Presidennya, Tian Chua.
Hanya PAS dan PKR berkumpul di Padang Merbok sementara parti
serpihannya, Parti Amanah negara (PAN) bersama Parti Sosialis Malaysia
(PSM) berkumpul di Jalan Raja, kira-kira 50 meter daripada Dataran
Merdeka.
Manakala tiada kelibat pemimpin DAP dikesan sepanjang himpunan itu berlangsung.
Himpunan itu pada mula mensasarkan Dataran Merdeka sebagai lokasi
terakhir untuk pesertanya berkumpul sebelum diubah ke Padang Merbok.
No comments:
Post a Comment