KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menyenaraikan 13
perkara yang dipersetujui oleh kerajaan persekutuan dalam penurunan
kuasa pentadbiran kepada kerajaan negeri dalam pertemuan beliau dengan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya semalam.
Adenan berkata adalah dipersetujui bahawa:
* Para Pegawai Undang-undang Negeri diberi tauliah oleh Pendakwa Raya
mengikut Kanun Tatacara Jenayah untuk membuat pendakwaan bagi kesalahan
mengikut Ordinan negeri daripada peringkat seseorang itu dikenakan
pertuduhan di mahkamah rendah, hinggalah ke peringkat rayuan.
* Penurunan kuasa dibuat kepada pegawai negeri untuk mewakili
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran
dalam pelantikan pegawai ke dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan,
termasuk perkhidmatan perguruan dan perubatan.
* Jawatan dalam Jabatan Imigresen Sarawak diperkemas bagi menambah baik
fungsi penguatkuasaan di negeri ini melalui penambahan 100 jawatan
baharu, dengan pengisian sepenuhnya dibuat menjelang akhir Februari
2016.
* Nisbah guru kelahiran Sarawak yang berkhidmat di negeri ini dinaikkan
kepada 90 peratus daripada keseluruhan jumlah guru di Sarawak menjelang
2018, dan untuk memastikan sasaran ini tercapai, guru sementara dari
pasaran terbuka dipertimbangkan dari semasa ke semasa dan mereka ini
mendapat Diploma Pendidikan semasa tempoh mengajar.
* Kuasa warden trafik bagi Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak diberi
kepada Majlis Bandaraya Miri, selain Dewan Bandaraya Kuching Utara dan
Majlis Bandaraya Kuching Selatan.
* Rundingan perlu dibuat dengan kerajaan negeri sebelum sesuatu
permohonan permit perikanan laut dalam dikemukakan kepada Jawatankuasa
Penilaian Permit Perikanan Laut Dalam untuk dipertimbangkan.
* Rundingan perlu dibuat dengan kerajaan negeri dalam merangka
undang-undang persekutuan yang mempunyai kaitan atau memberi kesan
terhadap kerajaan negeri Sarawak seperti yang diperuntukkan oleh
undang-undang.
* Perancangan projek persekutuan di Sarawak memberi keutamaan kepada
Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri Sarawak, berdasarkan kelulusan
bajet. Pelaksanaan projek ini perlu dirujuk/dirundingkan antara
kementerian dan kerajaan negeri seperti dalam menentukan lokasi sekolah,
hospital dan pelaksanaan projek pembangunan lain.
* Kementerian mengambil langkah perlu untuk meningkatkan jumlah
kemasukan pelajar daripada kalangan rakyat Sarawak bagi Program Ijazah
Perubatan. Rakyat Sarawak akan diberi lebih banyak peluang untuk
mengikuti program pengajian asasi di Universiti Malaysia Sarawak
(UNIMAS).
* Bidang berkaitan yang boleh diperturunkan kuasa dikenal pasti untuk
diperturunkan kuasa Ketua Pengarah mengikut Seksyen 49 Akta Kualit Alam
Sekitar 1974 kepada pegawai/jabatan negeri.
* Pembangunan projek perumahan di Sarawak dilaksanakan semula melalui
Mesyuarat Jawatankuasa Bersama bagi memastikan agensi negeri terlibat
sepenuhnya dalam aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek
berkenaan di Sarawak.
* Pembangunan sukan di Sarawak diuruskan secara bersama dengan kerajaan
negeri. Kementerian Belia dan Sukan kini dalam proses memperkemaskan
Akta Pembangunan Sukan 1997, yang dijangka selesai menjelang akhir 2016.
* Kerajaan negeri melaksanakan semua fungsi di bawah Jabatan Kebajikan
Masyarakat. Semua jawatan akan dipindahkan kepada Perkhidmatan Awam
Negeri. Kerajaan Persekutuan akan menyumbang 50 peratus daripada kos
yang terlibat seperti yang diputuskan Majlis Kewangan Negara.
Adenan berkata syarat penurunan kuasa pentadbiran ini telah
dipersetujui dalam fasa pertama rundingan penurunan kuasa antara
kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan, manakala rundingan fasa kedua
akan menyentuh tentang hak negeri ini (pencerobohan persekutuan
terhadap kuasa negeri), dan fasa ketiga mengenai permohonan royalti
minyak dan gas.
No comments:
Post a Comment