JASIN: Tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha bas ekspres yang
didapati menjual tiket pada harga yang lebih mahal terutama pada musim
perayaan atau cuti umum, kata Ketua Penguatkuasa Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Datuk Che Hasni Che Ahmad.
Beliau berkata, SPAD mengesan terdapat pengusaha bas ekspres
bersekongkol dengan ulat tiket untuk menjual tiket pada harga lebih
mahal.
Katanya tindakan akan diambil mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan
Awam Darat 2010 (Akta 715) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum
RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika
sabit kesalahan.
"Kami berharap penumpang yang mengalami situasi ini melaporkan kepada
SPAD untuk tindakan," katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu
SPAD bersama-sama agensi penguatkuasaan lain di Plaza Tol Jasin di sini
Sabtu malam.
Katanya, terdapat juga penjual tiket tidak menyerahkan tiket kepada
penumpang bertujuan menutup penipuan kenaikan harga yang dilakukan
mereka dan menurutnya perbuatan itu adalah salah.
Berhubung operasi itu, Che Hasni berkata sebuah pengusaha bas ekspres
disyaki terlibat dengan kegiatan ulat tiket kerana pemeriksaan SDAP
mendapati penumpang ditawarkan harga tiket berbeza-beza dan ada di
antaranya tidak memiliki tiket bas.
"SPAD akan menjalankan siasatan lanjut terhadap pemandu, penumpang dan pengusaha bas berkenaan bagi tindakan susulan," katanya.
Katanya sebanyak 59 kes kesalahan dikenal pasti dilakukan pemandu lori,
bas, dan teksi termasuk gagal mengemukakan permit kenderaan atau lesen
pengendali, gagal mengemukakan jadual tambang dan membawa muatan lebih.
Beliau berkata dalam 2,100 operasi harian antara Januari hingga April
tahun ini, teksi didapati paling banyak melakukan pelbagai kesalahan
membabitkan 1,495 kes diikuti lori (1,478), bas (561) dan kereta sapu
(88).
"Kesalahan tertinggi yang dilakukan pemandu teksi ialah tidak
menggunakan meter dengan jumlah kes sebanyak 1,056 dan SPAD akan terus
melakukan operasi dan penguatkuasaan bagi memastikan mereka menggunakan
meter agar penumpang tidak ditipu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan