THE MALAYSIAN INSIDER
Insiden
penculikan dua rakyat tempatan di Sabah Khamis lalu dianggap memalukan
negara kerana jenayah perairan negara masih berulang walaupun pelbagai
langkah keselamatan diambil, kata akhbar Mingguan Malaysia hari ini.
Melalui kolum Awang Selamat, akhbar itu berkata, pengajaran masih belum
cukup diambil pihak berkuasa daripada kejadian penecerobohan
bersenjata, rompakan dan penculikan di wilayah berkenaan sebelum ini.
"Apa pula lagi alasan yang mahu diberi termasuk oleh pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom)?
"Persoalannya lagi, kenapa cukup mudah dibolosi, dan penculikan itu pula tidak mudah segera dipintas," soalnya.
Akhbar milik Umno itu turut menggesa pegawai penguatkuasa yang
bertanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan itu ditukar atas prinsip
akauntabiliti.
Katanya, jika dibandingkan dengan Malaysia, di negara lain, kelemahan
dan kegagalan yang berpanjangan, terutamanya yang menyentuh isu
keselamatan, ditangani dengan tegas dan tanpa kompromi.
"Awang percaya jika tiada budaya akauntabiliti, keselamatan perairan di
Sabah akan terus diambil mudah. Bukan sahaja oleh anasir luar, malah
oleh pihak berkuasa yang diberi amanah.
"Dalam hal ini, sangat dituntut untuk agensi penguatkuasa meningkatkan
keyakinan masyarakat dan pelancong, bukannya menyebabkan kita semua
asyik geleng kepala," katanya.
Seorang wanita yang juga pemilik Restoran Ocean King, Thien Nyuk Fun,
50, dan konsultan elektronik di Kemboja, Bernard Ghen Ted Fen, 39,
diculik di restoran berkenaan pada 14 Mei lalu, kira-kira pukul 7.40
malam, di Jalan Tanah Merah, Sandakan.
Kejadian dipercayai berlaku ketika pertukaran waktu bertugas polis,
manakala bot yang digunakan suspek dipercayai menghala ke Filipina.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dilaporkan
berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keempat-empat
suspek datang dari arah tangga sisi di bahagian belakang restoran itu
tanpa mengenakan sebarang penutup muka.
Katanya, seorang suspek berbaju-T biru dan berseluar celoreng, manakala
yang lain berpakaian celoreng lengkap, dengan seorang daripada mereka
menyandang rangkaian peluru di bahunya.
"Meskipun semua suspek tidak memakai penutup muka, namun saksi takut
memandang mereka sebagai langkah menjaga keselamatan diri
masing-masing," katanya.
Jalaluddin berkata, siasatan dan usaha mengesan suspek dan mangsa
dilakukan dengan bantuan Esscom yang diketuai Komandernya Datuk Abdul
Rashid Harun, pasukan Polis Marin, Gerakan Am, Cawangan Khas dan
Angkatan Tentera Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan