THE MALAYSIAN INSIDER
Pihak
berkuasa yang menjalankan siasatan terhadap 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) perlu melihat 20 persoalan yang masih belum terjawab,
daripada urusan sebenar syarikat pelaburan negara itu sehingga individu
berpengaruh yang terlibat di dalamnya, kata Datuk A. Kadir Jasin.
Bekas ketua pengarang New Straits Times itu berkata, persoalan itu
harus diambil perhatian agensi yang terlibat dalam kertas siasatan 1MDB
iaitu pejabat Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM), polis dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen.
"Unsur penipuan, subahat, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kealpaan
tanggungjawab korporat dan pecah amanah ialah antara isu yang wajib
dirungkaikan para penyiasat supaya yang bersalah dibawa ke muka
pengadilan dan duit serta aset negara yang digunakan ke atas 1MDB
diperoleh semula.
"Kesan sistemik skandal 1MDB wajib disekat dan dihadkan demi melindungi ekonomi negara,"
katanya dalam blognya semalam.
Katanya,
lebih ramai individu yang berkaitan 1MDB wajib dijejaki bagi mengetahui
bagaimana krisis kewangan serta ketidaktelusan 1MDB boleh berlaku di
depan mata dan hanya baru-baru ini sahaja terbongkar.
"Kalau kita tak buat sesuatu dengan segera untuk atasi masalah 1MDB, ia
akan muflis dan kita serta anak cucu akan tanggung beban dan bala yang
dahsyat.
"Masalahnya sekarang bukan lagi sama ada 1MDB perlu di'bailout'
(diselamatkan) tapi sejauh mana kita melaksanakan proses itu dan belanja
yang terpaksa kita keluarkan," katanya.
Menyenaraikan 20 soalan yang wajib ditanya dan didapatkan penjelasan
oleh para penyiasat, Kadir berkata, siasatan perlu dimulakan terhadap
peranan wang royalti minyak dan gas Terengganu dalam urus niaga
Terengganu Investment Authority (TIA).
"Apakah peranan wang royalti minyak/gas negeri Terengganu dalam urus niaga TIA apabila ia ditubuhkan pada tahun 2008?
"Adakah benar sejumlah besar wang royalti minyak/gas Terengganu
(berjumlah berbilion ringgit) dimasukkan ke dalam sebuah bank tempatan
sebagai persediaan menggerakkan TIA?" katanya.
Katanya, soalan itu perlu dikemukakan kepada bekas ketua pegawai
eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tan Sri Azlan
Zainol, Presiden Sime Darby Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Pengerusi 1MDB
Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, dan pengarah pengasas TIA yang juga CEO
Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail.
"Adakah benar Bakke menarik diri atau digugurkan daripada Lembaga
Pengarah 1MDB kerana tidak bersetuju dengan urus niaga yang membabitkan
PetroSaudi?" soal Kadir seterusnya.
Wajib juga katanya, ditanyakan kepada Bakke dan ahli lembaga pengarah
lain, termasuk Lodin dan Ismee, mengenai kemunculan Jho Low sebagai ejen
1MDB.
Beliau juga mahu pihak berkuasa menyiasat sama ada hartawan T Ananda
Krishnan memberi pinjaman RM2 bilion kepada 1MDB bagi membayar balik
hutang kepada Maybank dan RHB Capital.
Juga, mengenai namanya yang digunakan untuk menyembunyikan hakikat
sebenar yang wang itu datangnya daripada Perbendaharaan atau
sumber-sumber kerajaan yang lain.
Katanya, siasatan perlu dibuat membabitkan Ananda dalam penjualan
penjana elektrik bebas (IPP) miliknya kepada Edra Global Energy, anak
syarikat milik penuh 1MDB.
Kadir mendakwa mendapat maklumat terbaru mengatakan andaian Ananda mendahulukan RM2 bilion kepada 1MDB mungkin songsang.
"Ananda terlalu licik dan pintar untuk mengambil risiko sebesar itu.
Ini ada kena mengena dengan penilaian (valuation) harta Edra yang
dikatakan sangat berbeza," katanya.
Beliau turut mempersoalkan peranan bekas pengerusi dan pengarah urusan
Goldman Sachs di Malaysia, Datuk Yusof Annuar Yaacob, dalam urusan
pinjaman 1MDB yang mewujudkan konflik kepentingan yang serius.
"Apabila Goldman Sachs mengatur penjualan AS$4.75 bilion (kira-kira
RM17.1bilion pada nilai sekarang) bon 1MDB dalam dua 'tranche' pada
tahun 2012-2013, Yusof adalah pengerusi dan pengarah urusan Goldman
Sachs di Malaysia.
"Mengikut agensi berita ekonomi Bloomberg, Goldman Sachs mendapat komisen AS$500 juta (kira-kira RM1.8 bilion).
"1MDB membayar yuran ASS$196.2 juta bagi bon bernilai ASS$1.75 bilion
yang diterbitkan pada bulan Mei 2012 dan AS$283.2 juta bagi bon bernilai
AS$3 bilion pada bulan Mac 2013," katanya.
Kadir berkata, Yusof kini ialah ketua pegawai negeri Deustche Bank bagi
Malaysia dan bank itu sedang menuntut agar 1MDB membayar lebih awal
hutang bernilai AS$975 juta (RM3.5 bilion) yang diaturnya tahun lalu.
Katanya, agensi siasatan juga perlu mengkaji perhubungan yang
disifatkannya satu pelakuan "sumbang muhrim" antara 1MDB, Tabung Haji
dan Felda, serta peranan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan
(Pemandu) dalam tiga entiti ini.
"Apakah peranan dan pendirian Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar
Aziz dalam hal-hal yang melibatkan hutang dan pergerakan wang 1MDB yang
sudah pun menyebabkan nilai ringgit jatuh?" soalnya.
Beliau juga mahu Jho Low dan seorang lagi ahli perniagaan, Deepak
Jaikishan, disiasat sama ada mereka mengenali satu sama lain
memandangkan kedua-duanya rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, serta kaitan Low dengan
Felda.
"Soalan-soalan di atas, dan banyak lagi soalan lain yang berkaitan
dengan 1MDB dan pihak yang berkuasa ke atasnya, wajib ditanya oleh para
penyiasat," kata Kadir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan