MALAYSIAKINI
MCA Johor telah mula mengorak langkah awal untuk mengenal pasti
calon-calon berwibawa yang boleh mewakili parti itu pada Pilihan Raya
Umum Ke-14 nanti.
Pengerusinya, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata kesemua 17 bahagian telah
dipanggil untuk menyenaraikan senarai calon berkenaan kira-kira dua
minggu sebelum Tahun Baru Cina baru-baru ini.
Bagaimanapun difahamkan seorang daripada 17 pemimpin bahagian tidak dapat hadir kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
"MCA Johor kini sedang dalam proses mengenal pasti siapakah bakal calon
kita nanti dan kita telah berbincang mengenai soal itu. Yang penting
calon itu mesti yang bermaya, bertenaga, berkaliber, berwibawa, imej
yang baik dan diterima baik masyarakat setempat," katanya selepas
Majlis Jamuan Rakyat sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Daerah Muar,
Ledang dan Bakri di Muar, malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan pemimpin MCA tempatan.
Wee yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden
MCA itu berkata lebih penting lagi calon berkenaan boleh menjadi "juara
rakyat" dalam menangani isu di tempat masing-masing.
"Selain calon, kaedah yang kita guna di setiap lokaliti itu berbeza
bagaimana untuk menarik sokongan masyarakat Cina terhadap Barisan
Nasional terutama di tempat yang kita tewas," katanya.
Beliau berkata ketika ini pihaknya tidak boleh mengumumkan peratusan
calon muda dan lama yang akan diketengahkan itu itu dan ia akan
diumumkan bila tiba masanya nanti.
Ketika ditanya sokongan masyarakat Cina terhadap BN ketika ini, Wee
berkata sokongan kini semakin baik dan masyarakat sudah mengetahui
mereka tertipu dengan dakyah pembangkang pada PRU lalu.
"Untuk apa lagi masyarakat Cina untuk menyokong pembangkang yang kini mula berpecah dan tidak sehaluan lagi," katanya.
Sementara itu ketika berucap, Mohamed Khaled mahu masyarakat Cina di
negeri itu agar bersama-sama kerajaan negeri untuk membantu membangunkan
Johor dengan lebih gemilang.
"Kerajaan negeri akan selesaikan semua masalah yang dibangkitkan
masyarakat Cina dan yang penting marilah kita bersatu dalam semua
perkara," katanya.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan