Rafizi Rafizi
 
 
PETALING JAYA - "Cukup jelas bahawa Pemuda Umno dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak berani berdebat, mereka hanya berani berdebat sesama sendiri di dewan tertutup."‎

Demikian reaksi Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ketika mengulas mengenai perkembangan cabaran debatnya mengenai kes liwat II kepada Pemuda Umno baru-baru ini.

Jelasnya lagi, selain tindakan tersebut beliau turut 'pening' dengan pengumuman Datuk Seri Shabery Cheek yang sebelum ini 'beria-ria' mahu mengadakan platform debat tersebut, tetapi tiba-tiba bertukar angin.

"Pada asalnya Shabery bersedia memberi platform untuk mana-mana pihak untuk berdebat megenai isu Anwar Ibrahim, tiba-tiba bila kita cabar Khairy untuk berdebat dia tukar yang ini hanya dihadkan kepada Christopher Liong dan Safee Abdulah sahaja.

"Kalau mereka nak berdebat, bagi peguam ada caranya sendiri, untuk tangani jika ada sebarang pelangaran, yang itu tidak perlu untuk menteri sediakan platform untuk mereka berdebat.

"Orang yang berdebat ini ahli politik, oleh kerana pemuda umno yang  mula-mula sekali cari pasal buat jelajah kononnya untuk menerangkan kepada rakyat, kalau dia  berani buat jelajah sepatutnya dia berani berdebat, tetapi KJ tidak berani berdebat," katanya.

Dalam nada sinis, Rafizi berkata KJ sekarang hanya berani berdebat dengan 'budak-budak'.

"Sekarang dia berada di AS , berdebat dengan budak-budak Malaysia di sana agaknya," dakwanya lagi.

Mengulas lanjut Rafizi berkata oleh itu beliau tidak akan memanjangkan isu ini kerana ternyata pemuda umno penakut.

"Saya rasa kita tidak perlu panjangkan lagi soal debat kerana rakyat sudah tahu yang penakut dan tidak berani adalah pemuda umno dan KJ," katanya.