MALAYSIAKINI
Barisan pemimpin PAS Batu mengumumkan peletakan jawatan mereka serta
merta kerana kecewa dengan kepimpinan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi
Awang.
Yang Dipertua PAS Batu, Ishak Surin berkata, mereka hanya akan kembali
ke jawatan itu selepas Hadi berjaya menyelesaikan krisis dalam PAS dan
juga isu dengan parti dalam Pakatan.
“Dengan pengistiharan ini, sekali gus gugurlah dengan serta–merta segala
jawatan yang diamanahkan kepada kami dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS
kawasan Batu kali ke-29 (2013) yang lalu.
“Kami
berharap pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Batu kali ke-30 yang
akan berlangsung pada 19 April 2014 depan, tiada sebarang cawangan dan
dewan-dewan yang mencalonkan kami untuk sebarang jawatan di peringkat
PAS kawasan Batu,” kata Ishak.
Dalam sidang media itu, Ishak berkata, 17 orang daripada 25 orang
pemimpin PAS Batu menandatangani persetujuan untuk tindakan bermufarakah
ini.
Ia melibatkan Ishak sendiri di jawatan yang dipertua selain timbalan,
baib yang dipertua, setiausaha, ketua penerangan, pengarah pilihanraya,
bendahari dan 9 orang ahli jawatankuasa.
Ishak Surin menjelaskan, tindakan “bermufarakah” bererti tidak lagi
bersetuju atau mengikut presiden tetapi mereka tidak keluar parti.
“Kami kecewa, sedih dan kesal terhadap sikap Hadi Awang yang gagal
menyelesaikan isu-isu dalaman sehingga mencetuskan krisis yang
berlarutan dalam PAS.
“Ini merupakan krisis paling teruk sejak kepimpinan ulama diperkenalkan
pada tahun 1982 selepas presiden PAS ketika itu Dato Mohd Asri Muda
dijatuhkan, kira-kira 30 tahun yang lalu.
“Malah, krisis PAS semakin meruncing parah ekoran kempen menghadapi
pemilihan kawasan untuk Muktamar Tahunan PAS kali ke-61 Jun ini.
“Namun, tiada usaha jelas daripada presiden untuk meredakan atau menghentikan krisis dalam PAS,” jelas Ishak Surin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan