OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
Tindakan
menahan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad awal pagi ini tidak perlu
dipersoalkan kerana polis bebas menjalankan tugas tanpa had masa
tertentu, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Ketua polis negara (KPN) itu berkata, polis akan sentiasa menjalankan
tugas dan sesiapa yang terlibat dalam kegiatan menghasut akan ditahan.
"Itu tak payahlah tanya bila nak tahan orang. Takkan itu pun nak tanya?
Kita akan ambil tindakan bila-bila masa pun. Siang malam, pagi petang,
kita akan jalankan tanggungjawab kita.
"Kalau ada yang cuba menghasut, kita tahan," katanya kepada pemberita
selepas menghadiri mesyuarat tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia
di Kuala Lumpur hari ini.
Khalid Samad yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat ditahan polis awal
pagi ini selepas terlibat dalam himpunan #KitaLawan semalam.
Bagaimanapun, Khalid Samad dan dua orang mahasiswa yang ditahan
berhubung perhimpunan #KitaLawan semalam dibebaskan selepas polis gagal
mendapatkan perintah reman.
Peguam Michelle Yesudas melalui laman Twitter miliknya hari ini
berkata: "Dua pelajar universiti ditangkap smlm dan Khalid Samad bebas,
reman ditolak #KitaLawan."
Sementara itu, Khalid Abu Bakar yang juga merupakan timbalan pengerusi
MCPF, berkata polis menghormati Perlembagaan namun tidak akan membiarkan
kebebasan menghasut menular.
"Hanya kerana keputusan mahkamah tidak berpihak kepada kumpulan tertentu, itu tidak memberi mereka kebebasan untuk menghasut.
"Polis menghormati kebebasan meluahkan pandangan dan kebebasan berucap seperti yang diperuntukkan Perlembagaan.
"Tetapi kita tidak akan membenarkan kebebasan menghasut, tidak
menghormati sistem yang diwujudkan melalui Perlembagaan mengikuti semua
yang diikuti undang-undang. Itu kita tidak boleh berkompromi," katanya.
Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan aktivis ditahan polis sebelum
ini menjelang perhimpunan #KitaLawan yang berlangsung di Kuala Lumpur
semalam.
Sekretariat #KitaLawan, Fariz Musa menjadi yang pertama ditangkap
selepas perhimpunan aman itu, dan dikatakan ditahan mengikut Akta
Hasutan.
Perhimpunan semalam dihadiri kurang daripada 1,000 orang dan berakhir lebih kurang pukul 7 petang.
1 ulasan:
Ketua polis negara tidak diberi hak untuk mengatakan seseorang itu pesalah atau tidak jadi dia tidak berhak mengatakan khalid samad iru pesalah
Catat Ulasan