Sabtu, 7 Mac 2015

Isteri bersyukur Zakia telah dibebaskan

MALAYSIAKINI

 
 
 
Sharifah Erna Berson, isteri anggota pasukan Polis Marin Lans Koperal Zakia Aleip, yang dibebaskan penculik hari ini, bersyukur dengan berita pembebasan itu. 
 
Ketika dihubungi Bernama di rumahnya di Tamparuli, Sharifah Erna, 23, berkata dia dimaklumkan tentang pembebasan suaminya itu oleh polis menerusi telefon.
 
"Saya hanya dimaklumkan berkenaan pembebasan suami saya dan tidak mengetahui di mana dia berada ketika ini," katanya yang menzahirkan rasa syukur sambil menitiskan air mata dan tidak sabar-sabar menunggu kepulangan suaminya.
 
Menurutnya, pembebasan suaminya itu pasti menggembirakan anak lelaki mereka, Mohd Hisham Izzudin, yang genap usia setahun pada 5 Mac.
 
Pada 12 Julai tahun lepas, Zakia, 26, diculik sekumpulan lapan lelaki bersenjata dalam kejadian di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna.
 
Zakia menjadi mangsa culik keempat selepas insiden penculikan di Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna, Pulau Baik, Lahad Datu dan di Kampung Sapang, barat Pulau Timbun Mata, Kunak.
 
 
 

Tiada ulasan: