Sabtu, 21 Mac 2015

Hudud: Keputusan PKR pasti menggembirakan PAS, kata Shamsul

 Oleh Nur Shakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: PKR malam tadi membuat keputusan yang “pasti menggembirakan” PAS selepas kerajaan Kelantan pimpinan parti itu meluluskan pindaan undang-undang ke arah melaksanakan hudud di Kelantan. 
 
Majlis Pimpinan Tertinggi PKR bermesyuarat hampir dua jam namun keputusannya hanya akan diumumkan hari ini, kata Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 
 
Bagaimanapun Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin  memberitahu Antarapos bahawa keputusan mesyuarat PKR itu akan menceriakan PAS. 
 
“Insya Allah PAS akan gembira dengan keputusan PKR malam ini,” kata beliau tanpa mengulas lanjut. 
 
Keahlian PAS di dalam Pakatan Rakyat menjadi tanda tanya setelah parti itu dibidas oleh DAP dan PKR susulan DUN Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 Khamis lalu. 
 
PAS  akan membentangkan usul persendirian di Parlimen bagi meminda peruntukan mengenai kuasa-kuasa Mahkamah Syariah bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan. 
 
Parti itu perlu memperolehi sokongan majoriti mudah 112 undi di Parlimen dan memerlukan sokongan Ahli Parlimen PKR beragama Islam untuk mencapai matlamat itu. 
 
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka membentangkan usul persendirian itu di Dewan Rakyat  pada sidang yang sedang berlangsung sekarang. 
 
Wan Azizah dan Shamsul bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada keputusan yang dicapai malam ini adalah bersabit pendirian PKR apabila usul itu dibentangkan di Parlimen. 
 
PKR sebelum ini menuduh PAS sebagai mungkir janji apabila parti itu membentangkan sebuah enakmen baru bagi melaksanakan hudud dan bukannya pindaan terhadap empat perkara sebagaimana yang dijanjikan kepada Pakatan Rakyat pada Februari lalu. 
 
Justeru PKR mengarahkan ADUN Guchil, Roslan Puteh daripada parti itu untuk tidak menyertai perbahasan atau mengundi terhadap pindaan berkenaan. 
 
Bagaimanapun pindaan itu mendapat sokongan penuh daripada kesemua ADUN PAS dan Umno  dalam DUN Kelantan.


Tiada ulasan: