PAC berpendapat, perlaksanaan projek yang
bernilai RM4.077 bilion ini lemah dan ia tidak seharusnya diteruskan
lagi ke fasa seterusnya.
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), mendapati fasa pertama bagi projek 1BestariNet gagal dilaksanakan sejak projek tersebut dimulakan pada tahun 2011.
Walau bagaimanapun, PAC dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa fasa kedua bagi projek menyalurkan perkhidmatan internet ke sekolah-sekolah akan tetap diteruskan.
Pengerusinya, Datuk Nor Jazlan Mohamed berkata, PAC tidak berpuas hati atas beberapa perkara, antaranya penyambungan internet ke tapak pengguna yang lewat siap.
“Jawatankuasa pembantu projek dan teknikal tidak diwujudkan di peringkat kementerian.
“Malah, kajian keperluan di sekolah tidak dijalankan serta maklumbalas dari pihak sekolah tidak memuaskan,” katanya dalam sidang media selepas selesai mesyuarat PAC, hari ini.
Disebabkan itu, PAC telah meminta supaya KPN memanggil bekas Ketua Setiausaha KPN, Datuk Rosli Mohamad, bekas Ketua Pengarah Pendidikan dan bekas pegawai pengurusan projek ini.
“Mereka bertanggungjawab sewaktu projek ini diwujudkan, dirancang dan dilaksanakan,” ujarnya lagi.
PAC juga berpendapat, perlaksanaan projek yang bernilai RM4.077 bilion ini lemah dan ia tidak seharusnya diteruskan lagi ke fasa seterusnya.
“Tender asal projek ini ada tiga fasa dan sekarang ini ia berada di fasa kedua. Setiap fasa mengambil masa lima tahun untuk disiapkan,” katanya.
Sebelum ini, laporan Ketua Audit Negara telah mendedahkan Projek 1BestariNet KPM ini tidak memenuhi sasaran tempoh dua setengah tahun selain gagal menyediakan Platform Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) kepada 10,000 sekolah di seluruh negara.
Laporan itu mendakwa, projek 1BestariNet telah dilaksanakan sebelum guru dan pelajar dilatih sepenuhnya mengguna VLE.
“Penggunaan VLE oleh guru, pelajar dan ibu bapa adalah sangat rendah, 0.01% ke 4.69%,” dedah laporan berkenaan.
Kontrak projek 1BestariNet ini telah ditawarkan kepada syarikat YTL Communications berdasarkan kedudukan penilaian spesifikasi teknikal yang terbaik dan harga yang munasabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan