Isnin, 23 Mac 2015

DAP Sabah beku kerjasama dengan PAS, cabar BN Sabah nyata pendirian tentang ‘Hudud Kelantan’

jimmy wong

 Roketkini.com

 
KOTA KINABALU: DAP Sabah hari ini membekukan sebarang kerjasama dengan PAS Sabah sekaligus mencabar Barisan Nasional Sabah menyatakan pendirian tentang pelaksanaan ‘Hudud Kelantan’.

Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong dalam kenyataannya mengatakan sebab keputusan pembekuan kerjasama itu adalah berikutan tindakan PAS mengkhianati dan membelakangi perjanjian persefahaman bersama Pakatan Rakyat apabila PAS Kelantan meluluskan Enakmen Syariah II (1993) 2015 tempohari.

“DAP Sabah melihat senario di Kelantan ini sebagai satu kegagalan terbesar PAS berpegang pada janji dalam kerjasamanya dengan Pakatan Rakyat.

“PAS juga memperlihatkan kegagalan parti apabila terjerumus dalam mainan politik kotor UMNO. Keadaan ini turut menjejaskan kerjasama DAP dan PAS di Sabah,” jelas Jimmy yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu.

Jimmy menyatakan DAP Sabah tegas membantah pelaksanaan hudud bukan kerana ia undang-undang Islam tetapi kerana enakmen yang digubal di Kelantan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Merujuk Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan, ia menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara yang menjadi sumber kepada semua undang-undang.

“Manakala Perkara 75 pula menyatakan bahawa mana-mana undang-undang negeri yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal.

Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan Enakmen Jenayah Syariah dengan mendapat sokongan UMNO negeri itu. Jimmy mengatakan ia adalah satu tamparan hebat kepada rakyat Sabah yang dikuasai Barisan Nasional dengan memenangi 48 daripada 60 kerusi DUN yang dipertandingkan pada Pilihanraya Umum ke-13 lalu.

“Dengan meluluskan undang-undang hudud yang mendapat restu Umno, PAS telah menjadikan hudud bukan lagi satu isu di Kelantan, ia kini merupakan satu isu besar di Malaysia melibatkan keharmonian dan keluhuran perlembagaan.

“Jika wakil-wakil BN Kelantan yang dikuasai UMNO menyokong perlaksanaan hudud di Kelantan, persoalannya, apakah pendirian wakil-wakil BN Sabah khususnya dari UMNO terhadap perlaksanaan hudud?

“Apa yang menimbulkan kekhuatiran dan tanda-tanya ialah, adakah jaminan Kerajaan Malaysia yang termeterai pada Batu Sumpah Keningau yang antara lain memberikan jaminan terhadap kebebasan beragama dalam Sabah akan dikhianati sekali lagi?” soal Jimmy.

Justeru itu, DAP Sabah mencabar Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah dan parti-parti komponennya yang lain seperti Parti Bersatu Sabah (PBS),
Perti Liberal Demokratik (LDP), UPKO, UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah yang diketuai Tan Sri Joseph Kurup, MCA, Gerakan negeri Sabah dan yang lain menyatakan pendirian mereka di Parlimen sama ada menyokong atau membantah perlaksanaan undang-undang hudud ini.

“Atas semangat Sabah dan Borneo, DAP Sabah juga mencabar agar parti-parti komponen BN negeri ini bertegas dan memutuskan kerjasama mereka dengan kerajaan Barisan Nasional kerana dilihat terlalu lemah dan tidak mampu mempertahankan semangat Perlembagaan Persekutuan,” tegas Jimmy lagi. -Roketkini.com


Tiada ulasan: