MALAYSIAKINI
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Sidang Injil
Borneo (SIB) daripada memulakan semakan kehakiman ke atas rampasan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap buku keagamaan Kristian yang
menggunakan perkataan Allah tujuh tahun lepas.
Dalam keputusan yang bakal mengecewakan umat Kristian di Sabah dan
Sarawak itu, mahkamah tinggi memutuskan, ia terikat dengan keputusan
Mahkamah Rayuan dalam kes antara ketua uskup gereja Roman Katolik dan
KDN.
"Kita diikat oleh keputusan mahkamah yang lebih tinggi, yang memutuskan
penggunaan 'Allah' tidak penting dalam kepercayaan dan anutan Kristian,"
kata Hakim Zaleha Yusof.
"Sehingga itu, kita diikat dengan keputusannya dan mahkamah ini terpaksa menolak permohonan, tanpa kos," kata Zaleha.
Buku-buku tersebut ialah buku keagamaan kanak-kanak yang dirampas pihak
berkuasa di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada Ogos
2007.
Presiden SIB Jerry Dusing dalam jawapan segera berkata mereka akan
merayu keputusan itu kerana “perkataan Allah penting dalam kepercayaan
dan penggunaan medium arahan dalam Bahasa Malaysia".
Menurut Dusing, buku tersebut dalam perjalanan ke Sabah dan Sarawak dari Indonesia, sebelum dirampas pihak berkuasa.
No comments:
Post a Comment