GEORGETOWN - MCA menyenarai pendek tiga nama calon bagi pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei depan.
Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata nama calon-calon berkenaan akan diserahkan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga perdana menteri untuk dipertimbangkan.
Beliau berkata kesemua calon adalah orang tempatan. "Kita tidak akan bincangkan calon-calon kita di media massa kerana saya perlu menghormati perdana menteri yang juga pengerusi BN. Kita akan bincangkannya di peringkat dalaman," katanya kepada pemberita selepas menghadiri dialog bersama barisan pimpinan MCA negeri di sini hari ini.
Ditanya sama ada dengan penyenaraian nama calon itu membayangkan BN akan bertanding pada PRK itu, beliau berkata: "Ini kita juga akan bincangkan dalam Barisan Nasional. Saya tidak akan berkata lebih dari itu. Ini kerusi MCA dan kita daripada hari pertama telah membuat persiapan sepanjang masa, sebelum dan selepas pilihan raya.
"Kita juga tidak melepaskan tanggungjawab untuk menjaga kawasan kita walaupun kalah di Bukit Gelugor pada pilihan raya lepas, kita masih terus berkhidmat."
Kekosongan kerusi Bukit Gelugor berlaku selepas kematian penyandangnya Karpal Singh dalam nahas berhampiran Gua Tempurung, Kampar, Perak pada 17 April lepas.
Penamaan calon ditetapkan pada 12 Mei. Pengerusi DAP itu memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2013 dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon BN Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi.
Dalam perkembangan lain, Liow menafikan dakwaan bahawa MCA mahu menukar kerusi kawasan tersebut dengan Gerakan bagi membolehkan ia bertanding di kawasan Parlimen Teluk Intan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser semalam.
Liow sebaliknya berkata MCA akan menyokong Gerakan jika mereka mahu meletakkan calon pada PRK Teluk Intan nanti. "Itu tidak benar, kerusi Bukit Gelugor adalah kerusi MCA dan kerusi Teluk Intan adalah kerusi Gerakan. Kita akan teruskan dari segi kedudukan kerusi ini dan kita akan membuat persiapan.
"Apa-apa cadangan (untuk pertukaran kerusi) memerlukan persetujuan daripada semua pihak dalam BN," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment