Thursday, May 8, 2014
Siapa berkuasa, Najib atau Ibrahim Ali? soal DAP
Siapakah yang sedang mentadbir Putrajaya, Perkasa atau Barisan Nasional (BN)? soal DAP berikutan keputusan perdana menteri mengekalkan ruangan "kaum" dalam borang rasmi kerajaan, bercanggah pengumuman awal seorang menteri yang memaklumkan ia akan dibuang secara berperingkat.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini mempersoalkan sama ada Datuk Seri Najib Razak atau Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali bertanggungjawab bagi kerajaan persekutuan.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata Putrajaya memutuskan untuk menghapuskan ruangan "bangsa" secara berperingkat.
Bagaimanapun, Ibrahim mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang jika Putrajaya menggugurkan ruangan "bangsa" daripada borang rasmi kerajaan, mendakwa ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Hari ini, Najib mengumumkan tidak ada rancangan untuk menggugurkan ruangan "kaum" itu.
"Kenyataan itu adalah tidak tepat. Kami ada berbincang mengenainya dalam Kabinet tetapi keputusan kami adalah untuk mengekalkannya," kata perdana menteri.
Najib dilaporkan berkata ruang "kaum" diperlukan untuk memastikan "setiap masyarakat diberi pertimbangan adil" dan tidak ketinggalan daripada dasar-dasar kerajaan.
Lim berkata pengumuman Najib mengenai subjek yang tidak mempunyai nilai menimbulkan persoalan sama ada BN atau Perkasa menguasai Putrajaya.
"Joseph Entulu bermaksud baik dengan pengumumannya semalam memandangkan ruangan 'kaum' tidak memberi nilai tambah dalam borang seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia," kata Lim.
"Mengeluarkan ruangan 'kaum' akan menjadi satu langkah ke hadapan ke arah mewujudkan sebuah identiti kebangsaan tunggal."
Namun selepas lebih 50 tahun merdeka, organisasi seperti Perkasa masih “mencarik fabrik sosial” perpaduan negara, kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata semua kumpulan pelampau dan perkauman seperti Perkasa memperoleh kelebihan seperti yang mereka nikmati kerana kekebalan undang-undang untuk membuat kenyataan tidak berperikemanusiaan dan ganas terhadap orang bukan Islam.
"Bukan sahaja mereka membuat kenyataan menghasut tetapi mereka juga kelihatan mempengaruhi dasar dan membuat keputusan di peringkat menteri kerajaan," kata Lim.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment