Thursday, May 8, 2014

Ruang kaum dalam borang kerajaan kekal, BN nyata tidak mampu berubah

Hannah-surau


SHAH ALAM – Keraguan Speaker Dewan Negeri Selangor Hannah Yeoh terhadap laporan kononnya ruang kaum dalam borang rasmi kerajaan akan digugurkan ternyata benar apabila hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan hal tersebut.

“Najib bukanlah seorang reformis, beliau tidak mampu bergerak melampaui hal perkauman,” ulasnya ketika dihubungi.

Hannah yang juga ADUN DAP Subang Jaya telah lama berkempen supaya borang rasmi kerajaan menggugurkan ruang kaum.

“Saya telah menulis tentang hal ini sejak Jun 2011. Anak saya, Shay bakal berusia tiga tahun. Masih tidak ada khabar berita,” kata beliau yang tegas berpendirian bahawa anaknya berbangsa Malaysia dan tidak perlu dikenali berdasarkan kaum.

Agensi berita Bernama melaporkan semalam bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun mendakwa ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan yang tiada nilai tambah akan digugurkan.

Belaun dilaporkan berkata bahawa pendekatan tersebut bertujuan memudahkan urusan dengan kerajaan, selain memupuk budaya keterangkuman dalam masyarakat berbilang kaum.

“Umpamanya, borang kerajaan berkaitan kebajikan tidak memerlukan ruangan ‘kaum’ kerana setiap keputusan yang dibuat selepas itu adalah berdasarkan kepada keperluan, bukannya berasaskan kaum. Justeru, maklumat mengenai kaum tidak diperlukan,” katanya.

Menurut Hannah, meski beliau menerima baik usaha menteri dari Sarawak untuk meyakinkan Kabinet untuk berubah, usaha itu ternyata sia-sia belaka.

“Kalau untuk menyelesaikan isu kaum dalam borang pun mereka tidak mampu, kita tidak boleh mengharapkan mereka untuk menghadirkan polisi substantif yang tidak berasaskan kaum,” tambah Hannah lagi.

“Ia tidak akan berlaku. BN tidak mampu berubah, ia perkauman, dulu, kini dan selamanya,” tegas beliau.

Najib Razak hari ini berkata kabinet tidak pernah membuat keputusan untuk menggugurkan ruang kaum dalam borang kerajaan.

Sebaliknya amalan tersebut akan dikekalkan, kononnya demi memastikan setiap kaum mendapat pertimbangan yang adil dan tidak ketinggalan.

Menteri yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan sebaliknya juga dilaporkan akan mengeluarkan kenyataan susulan dan memohon maaf. – Roketkini.com

No comments: