GEORGETOWN - Anak ketiga mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh bersedia bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, pada 25 Mei ini.
Peguam kelahiran Pulau Pinang berusia 38 tahun itu mengesahkan namanya antara calon yang disenarai pendekkan. Bagaimanapun, katanya terserah kepada DAP untuk membuat keputusan.
"Saya bersedia untuk itu (PRK) dan telah memaklumkan kepada mereka (DAP) jadi saya serahkan keputusan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis memperingati Karpal Singh di Sekolah Tinggi Han Chiang, di sini malam tadi.
Mengenai sama ada kakaknya, Sangeet Kaur Deo merupakan antara calon terpilih, Ramkarpal berkata kakaknya tidak disenaraikan dan ia telah disalah laporkan sambil menambah pengumuman calon akan dilakukan pada Rabu.
Ditanya sama ada Karpal Singh secara peribadi meminta beliau untuk menyertai politik, Ramkarpal berkata bapanya ada membayangkan perkara itu kepada abang-abangnya dan beberapa yang lain, namun tidak secara peribadi kepadanya.
Karpal Singh, dalam biografi pertama bertajuk 'Karpal Singh-Tiger of Jelutong' telah mencalonkan anaknya Ramkarpal untuk menggantikan beliau sekiranya kehilangan kerusi Parlimen itu berikutan sabitan ke atasnya dalam kes hasutan.
Ditanya sama ada beliau berminat menyertai politik, Ramkarpal berkata: "Secara tidak langsung, saya terlibat dalam politik sepanjang hidup saya. Minat itu hanya dikembangkan sejak beberapa tahun,".
Ramkarpal, yang secara rasmi menyertai DAP tahun ini, bercakap buat pertama kalinya di khalayak umum semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan Karpal Singh berada disisinya, di Sekolah Tinggi Han Chiang.
PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh (DAP) dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mei sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 21 Mei dan hari mengundi pada 25 Mei.
Mendiang Karpal Singh, yang juga bekas pengerusi DAP, memenangi kerusi itu pada PRU 2013 dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon BN Teh Beng Yeam, yang memperoleh 13,597 undi. - Bernama
No comments:
Post a Comment