MALAYSIAKINI
Presiden Parti Gerakan, Datuk Mah Siew Keong bersedia untuk
bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan sekiranya
diberi mandat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, sebagai seorang anggota politik yang begitu komited, beliau
bersedia dan akur dengan keputusan yang bakal diputuskan oleh pucuk
pimpinan tertinggi Barisan Nasional.
"Saya bersedia untuk bertanding PRK Teluk Intan jika nama saya dicalonkan kelak.
"Saya juga bersedia dengan keputusan dan calon yang akan ditetapkan
untuk bertanding di Teluk Intan. Keputusan yang diputuskan itu bukan
untuk individu namun bagi kepentingan parti," katanya dalam sidang media
di Kuala Terengganu hari ini.
Beliau berkata Gerakan juga mencadangkan beberapa nama sebagai calon PRK itu.
Mah berkata pihaknya akan bekerja keras untuk membantu calon yang bertanding pada PRK Bukit Gelugor dan Teluk Intan.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada DAP, Seah
Leong Peng, akibat kanser, 1 Mei lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) menetapkan 19 Mei sebagai hari penamaan calon manakala 31 Mei hari
pengundian.
Sementara itu Pengerusi Gerakan Terengganu Datuk Yap Kea Ping berkata
Gerakan Terengganu sebulat suara menyokong dan bersetuju calon yang
ditetapkan pada PRK itu.
Sementara itu, di George Town, Gerakan Pulau Pinang menyokong Mah dipilih sebagai calon di Teluk Intan.
Pegerusi Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata Jawatankuasa
Perhubungan Gerakan menyokong penuh Mah dicalonkan kerana pengalaman
beliau yang
pernah berkhidmat di kawasan berkenaan selama dua penggal.
"Mah adalah calon yang paling layak untuk dipilih di Teluk Intan dan
kami menyokong penuh pencalonan beliau," katanya kepada pemberita hari
ini.
Beliau berkata Gerakan Pulau Pinang akan menubuhkan satu pasukan khas
dengan seramai 80 petugas untuk membantu jentera pilihan raya di Teluk
Intan.
Bagaimanapun Teng berkata beliau akan menghormati keputusan calon yang akan ditentukan perdana menteri.
Mengenai PRK Parlimen Bukit Gelugor, Teng yang juga Pengerusi Barisan
Nasional negeri, berkata beliau akan bermesyuarat dengan Naib Presiden
MCA Datin Paduka Chew Mei Fun hari ini.
"Gerakan akan menyokong penuh calon Barisan Nasional di Bukit Gelugor
tetapi keputusan calon terpulang kepada MCA dan saya masih menunggu
maklum balas daripada mereka," katanya.
Terdahulu, Chew dalam sidang media berasingan berkata sebagai sebuah
parti politik, MCA sentiasa bersedia untuk menghadapi segala
kemungkinan.
engulas laporan akhbar Cina mengenai BN tidak akan bertanding di PRK Bukit Gelugor, Chew berkata itu hanya spekulasi.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya bersabar dan pihaknya akan membuat pengumuman apabila tiba masanya.
Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya Karpal
Singh daripada DAP, akibat nahas jalan raya dan SPR menetapkan 12 Mei
sebagai hari pencalonan manakala 25 Mei hari mengundi.- Bernama
No comments:
Post a Comment