Friday, May 9, 2014

Pemuda Umno Pulau Pinang cabar MCA keluar dari BN

MCA sepatutnya menilai kekuatan diri sendiri dalam BN.
Rafizal Abdul Rahim

GEORGE TOWN: Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang mengecam kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Ir Wee Ka Siong yang berbaur ugutan untuk menilai semula kedudukan MCA dalam Barisan Nasional (BN) sekiranya Umno menyokong pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Menurut ketuanya, Rafizal Abdul Rahim, Pemuda Umno Pulau Pinang ingin memberi kata dua kepada beliau supaya tidak mencemarkan keharmonian yang terbina  dalam keluarga BN atau keluar saja dari BN.

“Sepatutnya beliau perlu merujuk kepada Umno dan pimpinan tertinggi Barisan Nasional dan menilai terlebih dahulu kekuatan MCA dalam BN dan perlu memberi tumpuan terhadap gerak kerja menarik kembali sokongan golongan muda Cina kepada BN,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.

Beliau juga mengutuk kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang tidak bersetuju terhadap perlaksanaan hukum hudud di Pulau Pinang.

“Inikah cara pimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz yang dicanang-canangkan??? Pihak kami ingin mencabar Mohamad bin Sabu (Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang) supaya menyatakan pendirian segera terhadap isu ini termasuklah pemimpin Islam dan Melayu dalam PKR,” tegasnya.

Bagi Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang, hukum hudud merupakan undang-undang terbaik yang diturunkan kepada manusia.

“Kepada semua pihak, jangan sesekali kurang ajar dan biadap dengan memperlekeh serta menghina undang-undang tertinggi umat Islam ini dalam menjaga Maqasid Syar’iyah,” katanya lagi.

Rafizal menambah Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang bersedia menjadi orang tengah untuk memberi penerangan dan penjelasan untuk meningkatkan pehahaman mengenai intipati hukum hudud mengikut landasan Islam yang sebenarnya.

“Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang akan menjadi benteng dan bersedia berhadapan dengan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan perlaksanaan hukum Allah ini,” tegasnya lagi.

No comments: