Friday, May 9, 2014

Pekerja KTMB berpiket tuntut Presiden dipecat

piket2




KUALA LUMPUR: Kira-kira 700 pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhimpun di hadapan ibu pejabat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu bagi menuntut perkhidmatan Presiden KTMB Datuk Elias Kadir ditamatkan.

Piket itu adalah anjuran Kesatuan Pekerja-pekerja KTMB (Railwaymen’s Union of Malaya – RUM) – antara kesatuan pekerja yang pertama di Malaysia.

Presiden RUM Abdul Razak Md Hassan berkata, Elias mencatatkan sejarah terburuk kepimpinan KTMB dan menyebabkan prestasi badan itu semakin merosot.

“RUM memohon Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar segera campurtangan dan menamatkan khidmat Elias.

“Penilaian kami dalam tempoh dua tahun ini, tiada sebarang pemulihan dilakukan beliau, malah (prestasi KTMB) boleh dianggap lebih teruk daripada takuk lama.

“Gelaran yang sesuai adalah ‘non-performing president’,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, Antara bukti kegagalan Elias adalah campurtangan Pengerusi KTMB Datuk Nawawi Ahmad dalam urusan pengurusan di bawah tanggungjawab Elias, kegagalan ‘business plan’ 2014 yang kini telah pun dimansuhkan, kehilangan ramai pakar yang meletakkan jawatan dan tiada arah tuju yang jelas.

Malah, katanya lagi, banyak tindakan Elias seolah-olah memberi ruang kepada pihak luar untuk mengambil alih GLC itu, terutama MMC Corporation.

Justeru, katanya lagi, piket itu diharap mampu menyampaikan suara kemarahan pekerja KTMB, terutama kepada Perdana Menteri untuk mengambil tindakan yang segera.

“Kami meminta Perdana Menteri dengar keluhan kami. Imej KTMB tergugat teruk, pengguna hilang kepercayaan. Ini merugikan wang rakyat dan menjejaskan nama baik negara,” katanya lagi.

Piket yang bermula sekitar jam empat petang itu hanya berakhir dua jam kemudian, walau pun dalam cuaca hujan lebat dan ribut petir.

Selain laungan ‘undur Elias’, peserta turut menyanyikan lagu ‘Inilah barisan kita’ dengan penuh semangat, malah diiringi ketukan drum.

Turut hadir memberi sokongan adalah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan. – Roketkini.com

No comments: