MALAYSIAKINI
MP Raub Datuk Mohd Ariff Sabri hari ini memberitahu Mufti Pahang Datuk
Abdul Rahman Osman supaya tidak membodohkan orang Melayu dengan
kenyataannya yang mendakwa orang Islam tidak sepatutnya menentang
pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Dalam tulisan terbaru dalam blognya, Mohd Ariff (kiri)
yang dikenali sebagai Sakmongkol AK47 berkata Rahman tidak sepatutnya
berkata demikian, sedangkan beliau tiada kepakaran dalam bidang ekonomi.
“Kalau kamu tidak tahu menahu mengenai GST, atau hanya tahu (huruf) 'T'
di belakangnya saja, jangan gunakannya sebagai usaha untuk menjadikan
Melayu – yang mana Islam agama mereka – lebih bodoh.
"Banyak percubaan untuk menjadikan Melayu bodoh. Bila kami mahu untuk
menghapuskan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kerana memandu
laju di lebuhraya, orang Melayu bangkit menolaknya. Mereka
berdemonstrasi kerana saman itu mahu diteruskan.
"Bila kami menuntut pendidikan percuma dilaksanakan, dan pinjaman
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional digugurkan, orang Melayu
juga menolaknya.
"Sekarang dengan (cukai) GST, yang meningkatkan kos sara hidup, mufti pula suruh kita menyokongnya," kata Ariff.
MP Raub berkata beliau mengenali Rahman secara peribadi dan meyifatkannya sebagai orang baik lagi penyayang.
Bagaimanapun, tambahnya, mufti perlu mengetahui bagaimana membezakan antara perkara peribadi beliau dengan isu terbabit.
Rahman pada 2 Mei lalu dilapor berkata, umat Islam sepatutnya tidak
menyalahkan pelaksanaan GST, sebaliknya perlu membantu kerajaan dalam
menyokong usaha itu.
Katanya, Islam tidak melarang sistem percukaian dilaksanakan asalkan ia mengikut syarak dan tidak menzalimi rakyat, lapor Bernama.
No comments:
Post a Comment