RAKYATNEWS
KUALA LUMPUR - Calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Sungai Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Mohd Yacoob Mohd Noor
menyatakan hasratnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Bukit Gelugor 25 Mei ini.
Menurut Mohd Yaacob, setelah mengadakan mesyuarat bersama penyokongnya,
maka keputusan (bertanding) diambil walaupun dia tewas pada PRU13 lalu.
"Walaupun kalah pada pilihan raya umum lepas tetapi semangat memang
berkobar-kobar. Saya juga sudah beberapa kali buat program 'himpunan
rakyat' sendiri dan berdasarkan pemerhatian, ramai orang mulai menyokong
saya dan kami juga telah mempersiapkan jentera pilihan raya bagi tujuan
berkempen," katanya yang kini menguruskan rangkaian inap desa di Pulau
Pinang.
Pada PRU13, Mohd Yacoob hanya memperoleh 141 undi dalam pertembungan
tiga penjuru di DUN Sungai Pinang yang dimenangi calon DAP, Lim Siew
Khim dengan 12,354 undi manakala calon Barisan Nasional, Looi Swee
Cheang mendapat 7,647 undi.
Tambahnya, beberapa syarikat telah bersetuju untuk menaja bahan
kempennya dan akan mendapatkan dana daripada hasil jalan cenderahati
yang dilakukan penyokongnya bagi menampung kos pilihan raya kecil ini.
"Berdasarkan maklum balas yang saya terima daripada penduduk di kawasan
Bukit Gelugor, mereka memberi sokongan kepada saya. Saya menggunakan
slogan 'Yaacob Bebas Demi Rakyat'," katanya.
PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya 17 April lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mei sebagai hari penamaan calon, pengundian awal 21 Mei dan hari mengundi 25 Mei.
No comments:
Post a Comment