KESIAN, sehingga semalam masih tidak ditemui harta karun yang dikatakan peninggalan Kesultanan Melayu Melaka, di Pulau Nangka. Setelah sekian lama menunggu penuh harapan, harta bernilai berbilion RM itu agaknya masih terapung dalam angan-angan.
Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, syarikat yang sejak Julai 2012 diamanahkan untuk mengesan timbunan harta di laut pulau berkenaan, tidak menemui apa-apa, walaupun tempoh masa pencarian tamat semalam 30 April 2014.
Selama hampir dua tahun, menggunakan peralatan serba canggih dengan lebih 30 pekerja, termasuk beberapa pakar, syarikat berkenaan telah berusaha keras menyelami laut, membuat imbasan, dan menebuk bongkah batu untuk sampai ke tempat simpanan karun.
Walaupun kerja-kerja dikatakan sudah mencapai tahap 90 peratus, syarikat berkenaan masih gagal menemui sebarang bukti kukuh sebagai tanda kewujudan barang bernilai itu. Pemilik syarikat, Mohammad Foad Khushairy mengakui mengesan harta karun bukan satu kerja mudah.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan, sekiranya masih tidak ditemui setelah tamat tempoh, tugas pencarian akan diberikan kepada syarikat lain.
Sebenarnya kisah harta karun di laut negeri Hang Tuah ini telah menjadi buah mulut sejak lebih 30 tahun dulu. Kerajaan Negeri telah dari semasa ke semasa menjalankan kerja-kerja mengesan timbunan harta itu.
Kedengarannya seperti cerita dongeng, tetapi sekiranya benar ada peninggalan Kesultanan Melayu terdampar di dasar laut, Melaka akan mendapat laba yang besar, berbaloi menunggu sekian lama.
Tetapi seperti yang diakui sendiri oleh Ghafar, bukan mudah mengorek harta karun di dalam laut. Sepatah katanya: “Tugas ini tidak sahaja memerlukan peralatan tercanggih, tetapi juga melibatkan hal-hal spiritual.”
Tidaklah dijelaskan apa yang dimaksudkan dengan hal-hal spiritual itu. Adakah itu bermakna harta berkenaan dikawal oleh penunggu laut? Atau, adakah barang-barang berharga itu kini dalam simpanan kerajaan jin laut?
Alkisah sekiranya yang menguasai khazanah tersebut adalah makhluk halus – termasuk jin – tentu tidak mungkin untuk kita berkomunikasi dan berbincang dengan mereka, sebab mereka tidak faham bahasa kita. Kita pun tidak tahu bahasa jin. Hatta, peralatan teknologi tercanggih pun tidak boleh mengalahkan jin.
Apa pun jangan cepat putus asa dan menangis hentak-hentak kaki sekiranya segala aset – dalam kes ini hanya aset dalam negara, tidak melibatkan aset dari luar – dan kecanggihan teknologi masih gagal mengesan harta karun bernilai RM berbilion itu.
Pada hemat saya Kerajaan Negeri Melaka yang beria benar ingin mendapatkan harta karun itu masih ada harapan. Arakian, ada satu cara lagi yang boleh dicuba untuk mendapatkan pusaka peninggalan Kesultanan Melayu Melaka, iaitu dengan menggunakan peralatan tradisional yang diperbuat daripada buluh seperti teropong buluh, lukah buluh dan buah kelapa.
Bukankah kita ada ‘Datuk’ Ibrahim Mat Zin yang menggelar dirinya sebagai ‘Raja Bomoh Nujum Sedunia VIP’ yang selalu mendabik dada dan mendakwa boleh menarik benda-benda terbenam di dasar laut? Apa kata kita uji kehebatan ilmu perdukunan beliau dalam kes klasik ini.
Sehingga ini, walaupun telah mendapat publisiti dan liputan media seluruh dunia, belum satu pun dakwaan beliau menjadi kenyataan. Berilah dia peluang terakhir untuk membuktikan kehebatan dalam kes harta karun yang masih terkunci rapat di Pulau Nangka.
Seperti yang pernah dibuktikan, Nujum Pak Belalang sebagai Bomoh Diraja telah menunjukkan kecemerlangan dalam kes-kes berprofil tinggi, malah berjaya menyelamatkan negeri daripada tergadai ke tangan musuh.
Maka siapa tahu kot-kot apa yang terjadi dalam filem klasik P Ramlee itu boleh berulang di era Melaka Moden! Pak Belalang adalah ahlul nujum auta, tetapi dia berjaya menyelesaikan banyak masalah raja.
Apa pun saya tidak berani komen berlebihan dalam kes ini, takut tak fasal-fasal kena tampar dek Raja Bomoh moden. Kata yang empunya cerita bomoh yang seorang ini gemar sangat menampar. Jangankan orang biasa, buaya ganas pun berani ditamparnya. Tabik Datuk!
No comments:
Post a Comment