MALAYSIAKINI
Kerajaan Malaysia mengeluarkan salinan laporan awal mengenai kehilangan
pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, yang ia dikemukakan kepada
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) awal bulan lepas.
Dalam satu kenyataan, Menteri Pertahanan yang yang pemangku Menteri
Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata keputusan untuk
mengeluarkan laporan itu, yang bertarikh 9 April, telah dibuat selepas
pasukan pakar dalaman selesai menyemak dokumen tersebut.
Bersama laporan itu, kerajaan juga mengeluarkan rakaman
audio komunikasi antara kokpit dan kawalan trafik udara pada 8 Mac
sebelum pesawat terputus hubungan, peta beberapa kemungkinan laluan
penerbangan tersebut dan juga pelan tempat duduk pesawat dan senarai
kargo.
Katanya, mereka juga mengeluarkan maklumat tambahan yang memperincikan
tindakan-tindakan yang telah diambil antara jam 1.38 pagi dan 6.14 pagi 8
Mac.
Menurut Hishammudin, minggu lepas, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun
Razak ) melantik pasukan pakar dalaman untuk menyemak semua maklumat
yang kerajaan Malaysia ada mengenai MH370, dengan tujuan untuk
mendedahkan sebanyak mungkin maklumat kepada orang ramai .
Katanya, laporan awal itu dikeluarkan berdasarkan kepada panduan perdana
menteri - bahawa selagi maklumat tertentu yang dikeluarkan itu tidak
menghalang penyiasatan atau operasi pencarian - atas nama keterbukaan
dan ketelusan, maklumat itu seharusnya diumumkan.
Syor - pengesanan masa nyata
Laporan Pejabat Ketua Inspektor Kemalangan Udara Kementerian
Pengangkutan telah membuat satu syor mengenai kemungkinan melaksanakan
pengesanan masa nyata bagi penerbangan komersial.
Menurutnya, terdapat dua kejadian dalam tempoh lima tahun lepas apabila
pesawat pengangkutan udara komersial bersaiz besar telah hilang dan
kedudukan terakhirnya tidak diketahui secara tepat.
"Ketidakpastian itu telah menimbulkan kesukaran untuk mengesan pesawat itu secara tepat pada masanya," katanya.
Oleh
itu, tambahnya, Biro Penyiasatan Kemalangan Udara Malaysia membuat
cadangan kepada ICAO supaya meneliti faedah-faedah keselamatan dengan
memperkenalkan pengesanan pesawat pengangkutan udara komersial mengikut
masa nyata yang standard.
ICAO itu dijangka membincangkan mengenai perkara itu dalam mesyuarat pada 12 dan 13 Mei.
Bagaimanapun, laporan awal itu, gagal memperincikan tindakan segera
tentera Malaysia pada waktu selepas kehilangan pesawat itu, selain
daripasa sebutan ringkas bahawa carian telah "diperluaskan ke Selat
Melaka ".
Kerajaan Malaysia berdepan dengan penelitian hebat media asing dan
keluarga penumpang MH370 dalam penerbangan Beijing, kebanyakan mereka
adalah warga China, kerana kegagalannya untuk mendedahkan senarai kargo
dan laporan awal kepada ICAO.
Sebelum itu, kerajaan hanya mendedahkan transkrip komunikasi akhir dengan pusat kawalan trafik udara. [Baca berita penuh]
Bahagian 1: Tindakan yang diambil antara 1:38am dan 6:14am
Bahagian 2: Tindakan yang diambil antara 1.38am dan 6.14am
Susunan tempat duduk penumpang
Audio: Komunikasi antara MH370 dan kawalan trafik udara
Sementara itu Bernama melaporkan Hishammuddin berkata pasukan dalaman
itu telahpun memuktamadkan semakan semula, dan berikutan itu maklumat
berkaitan MH370
dikeluarkan yang turut mengandungi rakaman audio dan laluan penerbangan.
Beliau berkata radar tentera Malaysia ada mengesan sebuah pesawat yang
berpatah balik, dari arah barat, merentasi Semenanjung Malaysia pada
pagi 8 Mac.
"Pesawat itu dikategorikan oleh operator radar sebagai tidak
membahayakan, oleh itu tiada tindakan lanjut diambil pada masa itu,"
katanya.
Beliau berkata data radar disemak semula secara 'playback' kira-kira
8.30 pagi hari sama dan maklumat itu dihantar ke bilik operasi Tentera
Udara kira-kira 9 pagi.
Hasil perbincangan lanjut dengan pegawai peringkat tertinggi,
Hishammuddin menerima maklumat daripada pihak tentera kira-kira 10.30
pagi tentang kemungkinan pesawat itu berpatah balik.
Beliau kemudian memaklumkan perkara itu kepada perdana menteri yang
segera mengarahkan operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan di Selat
Melaka, bersekali dengan operasi di Laut China Selatan.
Hishammuddin berkata KD Mahameru, kapal pemusnah periuk api dan KD
Laksamana Muhamad Amin, Kapal Corvette Tentera Laut Diraja Malaysia,
telahpun bersedia di Selat Melaka untuk melakukan tugas rondaan.
"Mereka segera dipertanggungjawab untuk menjalankan operasi mencari dan
menyelamat. Sebuah pesawat tentera kemudian dihantar untuk menyertai
kedua-dua kapal itu di Selat Melaka pada 10.54 pagi dalam misi pencarian
MH370," katanya.
Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang, berlepas dari Lapangan
Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang
daripada paparan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang
udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing
pada 6.30 pagi hari sama..
No comments:
Post a Comment