MALAYSIAKINI
Ketua Pemuda GERAKAN Tan Keng Liang berkata Ketua Setiausaha Negara Tan
Sri Ali Hamsa tidak seharusnya mengancam untuk memecat penjawat awam
yang menyertai perhimpunan anti cukai barangan dan perkhidmatan (GST)
Jumaat lalu.
“Kerajaan persekutuan BN bukan satu pemerintahan kuku besi... Sebagai
ketua setiausaha kepada kerajaan, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan
kenyataan yang bertentangan dengan prinsip demokrasi yang termaktub
dalam perlembagaan persekutuan,” katanya.
Dalam kenyataan itu, Tan juga berkata Ali sepatutnya menyerahkan kes
kepada polis jika terdapat mana-mana penjawat awam yang melanggar
undang-undang mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Penjawat awam masih rakyat Malaysia. Mereka tidak harus diancam dengan
pelucutan jawatan kerana mereka bertindak mengikut hak yang dilindungi
perlembagaan persekutuan,” katanya.
Pemuda GERAKAN juga menggesa ketua setiausaha negara agar tidak
mengambil tindakan sewenang-wenangnya yang bertentangan dengan
perlembagaan.
“Ini bertentangan dengan prinsip asas BN,” katanya.
Seramai kira-kira 50,000 orang menyertai perhimpunan raksasa pada 1 Mei
lalu bagi menyatakan bantahan ke atas GST, yang akan berkuatkuasa April
tahun depan.
Ali dalam satu kenyataannya selepas perhimpunan itu memberi amaran
bahawa penjawat awam yang menyertainya boleh dikenakan tindakan termasuk
diberhentikan kerja.
Beliau memberi alasan, penjawat awam tidak boleh menentang aspirasi dan dasar kerajaan.
No comments:
Post a Comment