Tuesday, May 6, 2014
Hadir ke mahkamah hanya sebagai kawan, kata kelab penyokong Dr Mahathir
Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) semasa perbicaraan bekas Dr Kassim Ahmad pagi ini di Putrajaya bukannya menyokong kenyataan presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia itu sebaliknya atas semangat setia kawan, kata kelab penyokong bekas perdana menteri itu.
Timbalan Presiden Kelab Che Det, Syed Hassan Syed Ali berkata, Dr Mahathir bukannya bersetuju dengan pandangan Kassim sepenuhnya tetapi terkilan dengan cara penangkapan aktivis sosial berkenaan.
“Apa masalahnya Dr Mahathir hadir ke mahkamah beri sokongan kepada Kassim? Berpuluh-puluh pemimpin kanan Melayu ke mahkamah bila Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa kes liwat, satu kes yang cukup jijik.
“Ada juga pemimpin Islam hadir ke mahkamah beri sokongan kepada pihak gereja hendak guna kalimah Allah. Bahkan ada yang sokong pula penggunaan kalimah Allah oleh penganut lain,” katanya menerusi kiriman teks kepada The Malaysian Insider.
Dr Mahathir hari ini dilihat hadir di Mahkamah Tinggi Putrajaya bersama anak perempuannya, Marina untuk memberikan sokongan terhadap Kassim.
Mahkamah menetapkan 17 Julai untuk perbicaraan berikutnya setelah peguam Kassim, Rosli Dahlan memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sivil semalam.
Syed Hassan berkata walaupun Dr Mahathir sering dicap menyebelahi Kassim, namun beliau percaya Bapa Pemodenan itu masih berpegang kepada ajaran Islam sebenar.
Beliau turut menafikan Dr Mahathir menolak hudud sebaliknya mengambil sikap berhati-hati bagi memastikan hukum Allah itu dijlankan dengan penuh keadilan.
“Saya percaya Dr Mahathir terus amalkan ibadah seperti mana yang dikehendaki. Saya sendiri kerap terjumpa Dr Mahathir di Masjid Negara menunaikan solat Jumaat. Beliau bersolat seperti mana ulama dan umat Islam lain bersolat.
“Dr Mahathir jug tidak pernah menolak atau anti hudud. Beliau percaya hudud itu adil tetapi mungkin beliau tidak nampak hudud dapat dijalankan dengan adil di negara ini,” katanya.
Hujung bulan lalu, Dr Mahathir berkata tindakan PAS menimbulkan semula isu pelaksanaan hukum hudud berpunca daripada kelemahan kerajaan yang ditadbir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, halangan ke atas pelaksanaan hukum hudud semasa era pemerintahannya adalah kerana sokongan majoriti yang diberikan kepada kerajaan.
Katanya, pelaksanaan undang-undang Islam itu bermotifkan politik dan bukannya mengenai keadilan kepada rakyat.
"PAS lakukannya untuk politik, bukan mengenai Islam. Bila kamu buat undang-undang ini, orang akan kata parti kamu Islam dan rakyat akan sokong. Ia bukan mengenai keadilan.
"Mungkin mereka ingat kerajaan perlukan sokongan kerana semasa zaman saya, kami berkuasa dengan dua pertiga majoriti," kata Dr Mahathir ketika ditemui di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) bulan lalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment