Friday, May 2, 2014

Dakwaan bergaduh, Unit Amal beri penjelasan

HARAKAHDAILY 

 
 
KUALA LUMPUR: Selepas tersebarnya berita kekecohan sewaktu himpunan membantah GST semalam, Unit Amal hari ini tampil memberi penjelasan.

Pengarah Jabatan Amal Malaysia (Selangor), Khairil Anuar Ismail berkata kejadian berlaku disebabkan cubaan memasuki kawasan padang oleh sekumpulan kecil 'peserta' dan tindakan mengganggu acara himpunan dengan membuat bising oleh kumpulan sama.

Beliau berkata Jabatan Amal Malaysia ditugaskan untuk menjaga kelancaran himpunan dari aspek keselamatan termasuklah antara perkara pentingnya adalah memastikan peserta tidak memasuki kawasan padang yang menjadi antara syarat utama kebenaran himpunam diberikan.

"Saya mengambil tanggungjawab untuk menjawab tohmahan seperti yang tersiar meluas di laman web dan media sosial kerana anggota Jabatan Amal dari Selangor berada di semua lokasi berkumpul pada Himpunan GST semalam.

"Tindakan memukul mereka tidak berlaku sama sekali tetapi kami hanya berusaha menyuraikan mereka dan kami juga cuba menenangkan sekumpulan peserta lain yang mula membalas kata kata makian mereka kepada kami sehingga berlaku sedikit ketegangan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Mengulas gambar peserta yang didakwa luka akibat kekecohan itu, Khairil Anuar berkata ia mungkin akibat tolak menolak yang berlaku sewaktu cuba menyuraikan mereka.

"Cuma saya katakan, ramai peserta yang datang untuk berhimpun dengan baik, mereka datang dan pulang dalam keadaan yang harmoni pada hari tersebut. Kenapa ada seorang yang luka? Apa yang dia telah buat," soalnya?

Dalam pada itu beliau turut menafikan pasukan Unit Amal terlibat dalam satu lagi insiden pada sebelah malam selepas himpunan berlangsung.

Katanya, tiada anggota Unit Amal bernama Anuar dari kawasan Pandan seperti didakwa terlibat dalam insiden tersebut.

"Berkuasa betul mereka yang terlibat menyerang pada malam tersebut dengan hanya menunjukkan kad keahlian Amal, pihak polis boleh dihalau, logik ke?

"Kami mendesak pihak yang menuduh menyerahkan bukti kepada kami dan pihak berkuasa kerana kami tidak sesekali akan bersekongkol dengan perbuatan sebegini," jelasnya.

Katanya, anggota Jabatan Amal Malaysia atau lebih dikenali sebagai Unit  Amal tidak pernah dilatih atau melatih anggota untuk melakukan tindakan seperti dituduh.

"Bahkan ketika bertugas kami pernah dipukul, diludah, dicaci maki tetapi kami mengambil pengajaran dari akhlak Rasulullah dalam menghadapi perbuatan sebegini.

"Apa sahaja kerja buat kami dan apa yang kami hadapi, kami hanya menyharapkan pembalasan dari Allah. Redhanya yang kami buru," ujarnya. -

No comments: