Wednesday, May 7, 2014

Amaran Umno kepada Gerakan: Jangan menghina hudud

Komen yang melampau mengenai hudud mungkin menimbulkan kemarahan kalangan umat Islam
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican  (gambar) mengingatkan pimpinan parti kompenen Barisan Nasional (BN) agar tidak berlebihan dalam mengulas isu mengenai hudud.

Beliau mengulas secara spesifik berkenaan kenyataan dan komen yang dikeluarkan oleh Ketua Wanita Gerakan, Tan Lian Hoe yang merupakan satu contoh yang boleh dianggap sebagai menghina hudud dan agama Islam itu sendiri.

“Tan Lian Hoe dan mana-mana pimpinan komponen BN mesti sedar, komen yang melampau mengenai hudud mungkin sahaja menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam secara keseluruhannya,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada FMT.

Tambah beliau, komen kononnya hudud akan membela perogol sebagai contoh, adalah satu ulasan yang sangat kasar dan tidak berasaskan kepada fakta yang sebenar.

Ujarnya lagi, hudud mestilah dilihat secara keseluruhan dan bukan melalui perspektif hukuman semata-mata seperti yang diberikan ulasan oleh Tan Lian Hoe.

“Oleh yang demikian, perlu ada sikap yang lebih berhati-hati di dalam membuat sebarang komen dan kenyataan mengenai hudud. Percakapan, ulasan dan komen yang tidak berlapik, bersifat semberono dan singkat ilmu akan hanya menyebabkan usaha diskusi terhadap hudud gagal diperkukuh dalam masyarakat,” katanya.

Reezal turut menyatakan bahawa kini debat dan diskusi hudud sedang memasuki fasa baru perbincangan, iaitu dibawa kepada perhatian panel pakar yang akan diwujudkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.

“Justeru, ianya mestilah diberikan ruang yang cukup untuk diperhalusi oleh mereka yang arif dan faham dengan pelaksanaan hudud itu sendiri,” kata Reezal.

Tambah beliau lagi, batas di antara memberi komen mengenai hudud sekaligus menghina Islam itu jangan sesekali dilanggar dan diambil sambil lewa.

“Sebagai pemimpin, kita perlu sensitif dengan banyak perkara dan hal sekiranya perkara asas ini gagal difahami oleh pemimpin parti komponen, pastinya kita akan menempuh jalan yang sukar.

Bukan itu sahaja, debat baru mengenai hudud yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita pada ketika ini wajar dilihat dalam perspektif yang baik dan positif dan bukannya satu keadaan yang menganiayai atau menidakkan mana-mana kumpulan minoriti di dalam negara ini.

“Perbincangan, diskusi dan sebarang komen mengenai hudud mestilah berasaskan pedoman dan landasan ilmu dan bukannya berdasarkan sentimen sempit.

“Apa yang berlaku mutakhir ini, perbahasan mengenai hudud sudah menjadi alat politik kepada orang tertentu untuk mendapatkan markah politik dan bukannya di atas dasar keilmuan dan keikhlasan,” katanya.

No comments: