KELAB GREENBOC
Pemuda PAS nafi anjur majlis ‘Langkah Mayat Karpal Singh’
Pemuda PAS menafikan akan menganjurkan satu upacara "melangkah mayat Karpal Singh" sebagaimana yang disebarkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS).
Di saat kesedihan ramai pihak atas kematian Karpal dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi, SMS berhubung upacara yang dikatakan bakal dianjurkan sayap pemuda PAS itu tersebar.
Majlis ini dikatakan akan diadakan di rumah mayat Hospital Ipoh jam 1 tengahari tadi.
Upacara itu kononnya akan diketuai Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dan beliau menjemput pemuda dan ahli parti Islam yang berkelapangan menyertai majlis ini.
"Pihak media juga dijemput hadir untuk membuat liputan," tulis SMS itu.
Ia dikatakan ditulis oleh Suhaizan sedangkan Suhaizan kini berada di tanah suci Madinah untuk menunaikan umrah.
Ekoran itu, Setiausaha Pemuda PAS, Mohd Nasaie Ismail dalam satu kenyataannya menafikan SMS itu daripada Suhaizan.
"Ia fitnah dan satu laporan polis akan diadakan dalam masa terdekat," kata Nasaie dalam kenyataannya hari ini.
Karpal, 73, meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Ipoh dalam perjalanannya ke Pulau Pinang.
Sebelum ini, media melaporkan Karpal pernah berkata, "over my dead body" atau "langkah mayat saya dulu" sebelum wujudkan negara Islam.
Namun, Karpal pernah menjelaskan, kenyataan beliau itu diambil di luar konteks dan beliau hanya berkata, pelaksanaan undang-undang Islam khasnya hudud bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang sekular.
Kematian Karpal menyebabkan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad dari Barisan Nasional (BN) menghina mayat pemimpin veteran pembangkang itu di laman Facebooknya.
Sambil memuatkan gambar mayat Karpal dan menyiarkan keratan akhbar penentangan pemimpin itu terhadap hukum hudud, Nawawi mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan pemimpin itu.
"Siapa nak sambut cabaran Karpal Singh? Sila bagi nama he he," tulis Nawawi di akaun Facebook ‘Dato Ir Nawawi Ahmad’ merujuk kepada keratan akhbar bertajuk "Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat saya dulu – Karpal Singh".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan