Jumaat, 18 April 2014

Karpal tidak pernah mengambil bayaran – Anwar


1891417_827067573976849_311148481_o



SEBERANG JAYA: Hadirin Himpunan Reformasi 2.0 di Pulau Pinang malam tadi bertafakur selama seminit bagi memperingati mendiang Karpal Singh yang terkorban dalam kemalangan jalanraya awal pagi semalam.

Pimpinan Pakatan Rakyat yang berucap juga tidak ketinggalan mengenang dan menyatakan penghargaan kepada negarawan itu.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbas kembali kegigihan Karpal yang menjadi peguam bela dalam kes fitnah liwat 2.

“Karpal cuba hubungi saya empat kali pada 6.30 petang (Rabu lalu). Saya hubunginya semula dan beliau beritahu kami hanya ada sepuluh hari untuk hantar rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

“Beliau kata akan membuat permohonan dan lakukan yang terbaik untuk memenangi kes ini,” katanya, seperti dipetik The Malaysian Insider.

Kata Anwar lagi, Karpal benar-benar bimbang akan hukuman penjara lima tahun dalam rayuan kes itu.

“Pemergiannya satu kehilangan peribadi kepada saya, (Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) dan keluarga,” katanya yang menyifatkan ‘Harimau Jelutong’ itu sudah seperti ahli keluarga sendiri.

Malah, kata Anwar lagi, Karpal tidak pernah mengambil sebarang bayaran sepanjang menjadi peguam bela dalam kes itu.

“Ketika saya dalam perbicaraan, wang dikumpul untuk membayarnya tetapi beliau tidak ambil.
Katanya, khidmat guaman bagi pertahankan saya adalah sumbangan kecil,” katanya lagi kepada ratusan hadirin.

Antara pimpinan lain yang turut berucap adalah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

Karpal sememangnya sekian lama menjadi peguam bela Ketua Pembangkang itu, sejak kes fitnah liwat pertama yang menjadi pencetus kebangkitan rakyat dalam gerakan reformasi pada 1998. – Roketkini.com

Tiada ulasan: