YAAKUB DASAN
RANTAU PANJANG: Biar pun ayahnya, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), namun tidak menghalang pemuda PAS turut membantu anaknya Ezzat Nor Azam, 21, kini terlantar sakit.
Pelajar semester empat ijazah bidang pertanian di UiTM Kangar Perlis, terlantar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian akibat jangkitan kuman di bahagian otak sejak hampir setahun lalu.
Ibunya Latipah Yusof ketika ditemui berkata, anaknya dibawa ke HUSM bagi mendapat rawatan lanjut pada 12 April 2014.
“Ini kerana jahitan pada lubang yang ditebuk di bawah pusatnya terbuka. Kami bimbang dan terus membawanya ke HUSM,” katanya ketika ditemui di wad.
Ezzat anak sulung dari enam adik beradik pada awalnya demam selepas menyertai perkhemahan pelajar UiTM di Perlis sehingga dimasukkan ke wad Hospital Kangar.
“Dan selepas dimasukkan ke wad di sana dia tidak sedarkan diri. Selepas itu kami membawanya pulang ke rumah di Kampung Baruh Pial, Rantau Panjang,” ujar Latifah.
Ketika Ezzat terlantar sakit di rumah beliau dilawati isteri Menteri Besar, Datin Siti Zabidah Abdul Hamid dan isteri Adun Gual Periuk.
Sebelum itu beliau juga diziarahi anggota parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof. Dan terbaru rombongan Pemuda PAS Kelantan diketuai Shazuwan Che Hamid.
Shazuwan juga memberitahu Pemuda PAS merancang mengadakan solat hajat dan jamuan teh bagi mengumpul dana membantu Ezzat di rumahnya.
Latifah berkata, pada kunjungan itu mereka menghulur bantuan kewangan bagi meringankan bebanan keluarga untuk keperluan harian Ezzat.
Menurutnya juga Ezzat diberi susu debu jenis Peptamen sebagai diet harian. Setiap setin seberat 430 gm berharga RM81.90.
Kata beliau memandangkan kos begitu tinggi keluarganya tidak mampu bagi menyediakan keperluan harian Ezzat termasuk lampin pakai buang.
Oleh itu dermawan yang bersimpati boleh membantu keluaga terbabit dengan menyalurkan sumbangan melalui Bank Rakyat (220301198268 – Abdullah Hadi Yusoff) atau menghubungi di talian 013-9378100
Tiada ulasan:
Catat Ulasan