ABD SHUKUR HARUN
Kepergian peguam veteran, pemimpin politik dan pejuang keadilan, Karpal Singh minggu lalu memang dirasakan sedihnya oleh pelbagai pihak. Ini bermakna masih tetap ramai rakyat prihatin yang sangat mengambil berat mengenai perjuangan keadilan.
Kepergian mendiang Karpal Singh ketika semangat perjuangan rakyat untuk menegakkan keadilan di negara ini sedang bersemarak memang sangat dirasakan. Betapa tidak, sepanjang karjayanya sebagai peguam dan ahli politik, beliau bersama rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat dan NGO yang menyokong, tidak henti-hentinya memperjuangkan keadilan, bukan semata-mata kerana sifat Karpal sebagai pengamal undang-undang, tetapi juga sebagai pemipin politik dan wakil rakyat.
Malah dalam perjuangan menegakkan keadilan, beliau sanggup berkorban apabila beliau, umpamanya, tidak menuntut apa-apa bayaran dari DS Anwar Ibrahim sepanjang tempoh pembelaannya yang lama terhadap kes DS Anwar, justeru Karpal melihat bahawa ini adalah sebuah kezaliman terhadap DS Anwar dan mesti diberi pembelaan.
Beliau mencipta dan meninggalkan sebuah legasi sebagai pejuang keadilan yang akan dikenang lama, generasi demi generasi di negara ini bahkan di rantau ini bahkan hingga ke Mongolia.
Namun begitu, perjuangan menegakkan keadilan di negara ini atau di mana-mana saja akan tetap diteruskan walaupun dengan ketiadaan Karpal, justeru perjuangan ini sangat panjang dan jauh. Karpal menjadi salah satu mata rantai perjuangan ini.
Tahun lalu, dunia mengingati dan bersedih akan kepergian Nelson Mandela, peguam hak asasi manusia di Afrika Selatan. Juga jauh sebelum itu dunia mengingat kepergian, pejuang hak asasi manusia di Amerika, Martin Luther King JR dan jauh lagi sebelum itu juga kepergian Mahatma Ghandi yang juga dikenang sepanjang zaman, serta ramai lagi pejuang keadilan dan hak asasi di mana-mana saja di dunia ini.
Dalam hal ini, Islam telah lebih dulu mempelopori usaha menegakkan keadilan, melaksanakan pembelaan terhadap hak asasi manusia sejak 1,400 lalu. Iaitu ketika Nabi Muhammad s.a.w. melantik Bilal Ibnu Rabah menjadi juru azan di Masjid Nabawi, Madinah. Bilal berkulit hitam bersuara merdu dulunya seorang hamba telah dibebaskan oleh Sayidina Abu Bakar Al-Siddiq dan kemudiannya menjadi sahabat karib Rasulullah s.a.w.
Ini bermakna ajaran Islam telah lebih dulu membebaskan manusia daripada perhambaan, menentang diskriminasi warna kulit dan sebagainya, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. - lama sebelum bekas Presiden Amerika, Abraham Lincoln membebaskan orang kulit hitam dari perhambaan di negaranya.
Islam sejak awal telah mempelopori perjuangan menegakkan keadilan, menentang perhambaan dan perbezaan warna kulit. Sebab itu, siapapun yang bercakap dan berjuang untuk menegakkan keadilan, maka orang itu jangan lupa akan hal ini.
Konsep adil dan keadilan dalam agama Islam mendapat tempat yang penting di dalam. Dalam Al-Quran, tercatat sekitar 56 ayat yang berbicara mengenai keadilan. Dalam bahasa Arab, keadilan disebut sebagai al-'Adalah. Pengertiannya adalah keadilan dalam semua liputan.
Ayat-ayat Al-Quran yang menyeru pentingnya adil dan keadilan, menurut ulama, antara lain adalah "haruslah berlaku adil" (Surah An-Nisa [4]: 135, Al-Maidah [5]: 8, Al-An'am [6]: 152, An -Nahl [16]: 90); "wajib berlaku adil dalam perniagaan" (Surah al-Isra [17]: 35); "adil terhadap lawan" (An-Nisa [4]: 105, Al-Maidah [5]: 8) dan "pernyataan Allah tentang keadilan-Nya" (Ali Imran [3]: 18).
Menurut sebuah kajian, istilah adil berasal dari bahasa Arab yang bererti tengah atau seimbang. Keadilan ertinya mizan (kesimbangan), yakni suatu sikap tidak berlebih-lebihan yang berkaitan dengan sifat kearifan.
Kerana itu terserlah kesyumulan Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin terserlah di dalam Al-Quran.
Maka oleh kerana Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin, maka Al-Quran menegaskan bahawa umat Islam itu sebagai umat pertengahan – Ummatan Wasatan.
“Dan demikian pula Kami telah jadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan, seimbang, agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu.” (Al-Baqarah 143).
Ia menjadi penyelamat umat manusia tanpa mengira bangsa, agama, warna kulit, kawasan gerografi dan sebagainya. Namun mereka yang engkar kepada perintah Allah s.w.t dan tidak beriman, maka balasannya neraka yang amat pedih. Demikianlah Islam memperlihatkan wajah agama Islam yang seimbang, toleransi dalam batas yang dibenrakan oleh syarak.
Menurut kajian itu lagi, Prof Muhammad Abu Zahrah membahagikan keadilan dalam tiga bahagian, iaitu keadilan undang-undang, keadilan sosial, dan keadilan global. Keadilan undang-undang adalah penguatkuasaan undang-undang secara merata kepada semua tahap sosial yang ada. Tidak membezakan yang kaya ataupun yang papa, yang mulia ataupun yang hina. Semua orang di sisi undang-undang dan perundangan adalah sama.
Keadilan sosial adalah sesuatu yang menuntut setiap individu dalam suatu kumpulan agar dapat hidup secara terhormat tanpa ada tekanan dan halangan serta mampu memanfaatkan kemampuan masing-masing sesuai dengan apa yang berfaedah bagi diri dan orang lain sehingga boleh berkembang secara kolektif. Keadilan global ialah prinsip utama sebagai landasan ditegakkannya hubungan antara golongan Muslim dan bukan-Muslim.
Agama Islam meletakkan aspek keadilan pada kedudukan yang sangat tinggi dalam sistem perundangannya. Ini seperti yang terpancar dalam pemerintahan Islam pimpinan Rasulullah s.a.w. di Madinah.
Adapun perjuangan menegakkan keadilan di negara ini, menurut pendapat saya, memerlukan masa yang panjang dan kompleks, justeru Malaysia sebuah masyarakat majmuk, malah ada unsur feudal yang kuat mengakar di dalamnya, terutama di kawasan pedalaman, iaitu kawasan yang menjadi tapak kuasa pemerintah yang kukuh sejak puluhan tahun.
Namun begitu, dengan berkembangnya apa yang dikatakan masyarakat madani atau civil society dan dengan berkembang pula generasi baru, terutama di bandar dan semi bandar, maka perjuangan menegakkan keadilan kiranya mendapat nafas baru dan kian bersemarak.
Di sinilah pada pendapat saya, semua rakyat prihatin perlu membulatkan tekad, meneruskan perjuangan menegakkan keadilan, di mana mendiang Karpal Sing telah mengambil bahagian yang penting dalam perjuangan ini semasa hayatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan