Mahkamah
Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman penjara empat tahun dua anggota
polis berpangkat Sarjan yang didapati bersalah mencederakan dua tahanan
enam tahun lepas.
Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah membuat keputusan selepas menolak
rayuan Sarjan Mohd Shafiee Abdul Halim, 51, dan Sarjan Mohd Diah
Sulaiman, 51, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Brickfields.
Beliau memerintahkan Mohd Shafiee dan Mohd Diah, yang kini digantung tugas, menjalani hukuman penjara mulai hari ini.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Adenan Ismail,
yang mewakili Mohd Shafiee, dan peguam Amer Hamzah Arshad bagi pihak
Mohd Diah, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu dengan menaikkan
jaminan daripada RM10,000 kepada RM20,000 bagi setiap tertuduh sementara
menunggu rayuan selesai didengar.
Dalam penghakiman setebal 36 muka surat, Amelia berkata beliau berpuas
hati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Katar tidak terkhilaf ketika
memutuskan kes itu.
Beliau turut mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas serta
membebaskan lima anggota polis lain daripada pertuduhan mencederakan
tahanan sama tanpa dipanggil membela diri.
Mereka ialah Sarjan Zulkiplly Taib, Koperal Abdullah Musa, Koperal
Zamrin Zaid, Lans Koperal Matila @ Saudi Ismail dan Lans Koperal Nizam
Abdul Wahab dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields.
Amelia juga mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas serta
membebaskan Mohd Diah daripada satu lagi pertuduhan iaitu membuat
kenyataan palsu selepas memutuskan rayuan pendakwaan dalam kes itu tiada
merit.
Mohd Shafiee dan Mohd Diah didakwa bersama-sama lima lagi anggota polis
menyebabkan kecederaan kepada B.Prabakar, 34, dan C.Solomon Raj, 24,
bagi mendapatkan pengakuan daripada mereka di pejabat detektif IPD
Brickfields antara 10.15 malam pada 23 Disember dan 3.30 pagi 24
Disember 2008.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. –
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan