KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sedia memberi penerangan kepada semua pihak berhubung pelaksanaan hudud di negeri ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sudah tiba masanya hukuman hudud yang bakal dilaksanakan di negeri ini diperjelaskan bagi mengelakkan berlaku kekeliruan dan menimbulkan polemik sehingga menakutkan pelbagai pihak.
“Dalam masa enam bulan ini, kita sudah bersedia menjelaskan isu ini, tidak kira kepada sesiapa pun sama ada umat Islam atau bukan Islam.
“Dengan penerangan itu nanti, diharap dapat memberi pendedahan sebenar mengenai hukuman ini yang merupakan undang-undang Islam dan diperintahkan ALLAH SWT untuk dilaksanakan demi kebaikan bersama,” katanya pada sidang media di pekarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.
Terdahulu, Ahmad menziarahi mangsa kebakaran dalam insiden di Dataran Shell, Gua Musang, Rabu lalu yang dirawat di hospital berkenaan.
Beliau turut bertemu dengan keluarga mangsa terbabit dan menyampaikan sumbangan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai permohonan pimpinan DAP bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu itu, Ahmad berkata, setakat ini belum menerima sebarang permohonan.
“Kita sudah sedia sepenuhnya dan dalam sedikit masa lagi, insya-ALLAH dengan keyakinan bersama, kita dapat laksanakan undang-undang jenayah syariah ini di Kelantan.
“Kita juga akan usulkan perkara ini ke Parlimen dan marilah kita sama-sama berdoa kepada ALLAH SWT. Diharap perbincangan ini dipermudahkan," katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan kerajaan Kelantan akan melaksanakan hudud mengikut pendekatan secara terbuka, yang mana golongan bukan Islam juga boleh mengikut pelaksanaan tersebut.
Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, dari segi pelaksanaan, Kelantan tidak meniru mana-mana negara luar dan akan melaksanakan undang-undang itu berlandaskan lunas Islam sebenar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan