*ADA yang sengaja berniat jahat terhadap Sinar Harian. Mereka menggunakan logo akhbar berkenaan untuk menyebarkan fitnah di alam siber. Tujuannya hanyalah untuk memburukkan imej kami.
Beberapa kali logo portal berita ‘Sinar Harian Online’ telah diciplak pihak tidak bertanggungjawab. Menggunakan logo Sinar warna merah dengan moto ‘Telus & Tulus’, mereka memuatkan bahan-bahan berunsur fitnah.
Mereka memaparkan berita dan gambar untuk menunjukkan seolah-olah akhbar ini memihak, tidak beretika dan melaporkan berita secara semberono. Beberapa kali kami membuat penjelasan, tetapi masih ada pihak yang dengki.
Terkini, dua tiga hari lalu, tersebar di laman sosial Facebook, kononnya muka depan akhbar ini dengan tajuk ‘Apa Lagi Khadir Jasin Mahu?’, dengan gambar besar bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST, yang juga Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin. Turut disiarkan di muka depan itu ialah tajuk ‘Rahsia Kekayaan Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin’ berserta gambar.
Setelah tujuh tahun dalam pasaran, kami masih mengekalkan prinsip awal penerbitan iaitu melaporkan yang benar dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Sebahagian besar pembaca faham pendirian kami. Hanya ada seorang dua yang dengki dan menyebarkan Sinar Harian palsu di alam maya. Kami sedang menyiasat.
*SUDAH terdengar cakap-cakap mengenai kemungkinan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan ditandingi buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan tiga nama telah dicalonkan untuk jawatan berkenaan, oleh 20 badan gabungan bagi kongres kali ke-50 yang akan diadakan pada 25 Mei depan.
Sebelum ini ada spekulasi bahawa Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Ibrahim merupakan antara yang akan bertanding jawatan No.1 badan induk bola sepak negara itu.
Jawatan penting lagi berprestij itu kini disandang oleh Sultan Ahmad Shah, dengan anakanda baginda iaitu Tengku Abdullah yang kini Timbalan Presiden.
Kalau benar ada pertandingan bagi jawatan No.1 itu tentulah ini satu sejarah buat FAM khasnya dan bola sepak negara amnya. Selama tiga dekad tidak ada pertandingan, maka pertandingan kali ini membuka lembaran baharu dalam arena bola sepak kita.
*AKHIR kalam, hujan sudah turun, empangan pun mula berisi, tetapi kerajaan PR Selangor masih meneruskan catuan air sehingga akhir April. Ertinya walaupun rata-rata sudah basah, banyak lagi kawasan di negeri termaju itu masih kering paip.
Di satu lagi negeri PR, iaitu Pulau Pinang, tidak ada catuan air tetapi kerajaan negeri telah mengumumkan akan menaikkan tarif air tidak lama lagi. Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng langkah ini adalah untuk mengelakkan krisis air pada masa depan.
Kata Guan Eng: “Ini bukan soal politik, tetapi untuk mengelak krisis air yang lebih buruk.” Politik atau bukan politik, apabila tarif air naik rakyat juga yang susah. Apa boleh buat...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan