KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Keputusan Mahkamah Rayuan dan kekangan dalam Akta Pertubuhan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) punca Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri daripada pencalonan jawatan presiden dalam pemilihan parti, kata presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.
Katanya, hukuman zalim yang dijatuhkan bukan sahaja menyebabkan Anwar terhalang untuk bertanding di pilihan raya kecil DUN Kajang, bahkan tidak boleh menerajui parti yang diasaskan sendiri oleh beliau.
“Ini jelas membuktikan kepada kita betapa jelasnya kejahatan Umno yang terus berusaha mematahkan semangat dan daya juang Datuk Seri Anwar.
“Walaupun kita dah jangka perkara ini akan berlaku, Anwar tetap mengambil keputusan untuk tetap bertanding sebelum ini,” kara Wan Azizah pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
Jelasnya lagi, tindakan mahkamah dan ROS itu sedikit pun tidak melunturkan semangat pejuang KEADILAN, malah akan meneruskan agenda perubahan di Malaysia.
“Saya ingin tegaskan di sini bahawa, tindakan ini hanya akan terus membakar semangat juang anggota KEADILAN untuk meneruskan agenda perubahan di Malaysia,” katanya.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Johari Abdul berkata, penarikan diri Anwar dari bertanding jawatan presiden sebagai langkah mengelak ROS mempersoal kedudukan jawatan Anwar selepas keputusan pemilihan.
Ini kerana sebelum ini parti DAP pernah berdepan masalah dengan ROS yang enggan mengiktiraf pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) kerana dipercayai terdapat ahli dipecat yang turut mengundi pada pemilihan tersebut.
Ini ditambah dengan kematian peguam bela Anwar, Karpal Singh dan ahli parlimen Permatang Pauh itu perlu memberi fokus kepada kes mahkamah bersama pasukan peguam yang baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan