Selasa, 15 April 2014
Ke mana dana geran R&D Mosti dibelanjakan, soal PKR
PKR mempersoalkan perbelanjaan geran Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang menelan perbelanjaan RM1.152 bilion, namun tidak memberikan pulangan yang sewajarnya.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata hanya 20 hasil kajian R&D yang dikomersialkan setiap tahun, dan jumlah itu terlalu kecil berbanding perbelanjaan R&D yang besar.
"Kita tidak tahu pun apa hasil R&D yang kita komersialkan, kita tidak pernah nampak.
"Siapa fikir projek R&D akan jadi sarang penyalahgunaan dana awam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.
Rafizi bagaimanapun berkata, PKR tidak menentang R&D, tetapi tatakelola kewangan yang baik harus dilaksanakan bagi memastikan dana yang diberikan setimpal dengan hasilnya.
"Jumlah RM1.152 bilion bagi tempoh terkini bukan jumlah kecil. Jumlah ini sudah tentu menimbulkan kontroversi jika tidak memberikan pulangan sewajarnya.
"Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus memotong subsidi untuk menjimatkan perbelanjaan, tetapi jumlah yang dijimatkan itu dibelanjakan pula kepada geran R&D," katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, semakan yang dilakukannya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 mendapati Mosti memberikan geran dengan jumlah besar dan menimbulkan tanda tanya mengenai campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Saya harap pendedahan ini dapat membuka mata rakyat agar kaedah pemberian geran dan peruntukan dana berbilion ringgit yang tidak telus dikaji kembali," katanya.
Beliau turut memberikan komitmen untuk terus membuat pendedahan terhadap penyalahgunaan dana geran R&D sepanjang bulan ini.
"Ia menimbulkan persoalan, ke mana sebenarnya dana ini digunakan? Benarkah ia digunakan sepenuhnya bagi tujuan pengkomersialan R&D atau ia digunakan bagi tujuan lain," katanya.
Rafizi berkata, pemberian geran R&D oleh Mosti ini lebih teruk berbanding pinjaman mudah yang diberikan kerajaan seperti isu Pusat Fidlot Nasional (NFC), kerana dana yang disalurkan tidak perlu dipulangkan kembali kepada kerajaan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan