IDEAS


KUALA LUMPUR - Kadar inflasi Malaysia dijangka meningkat lagi sehingga September, sebelum stabil ke arah penghujung tahun, kata Alliance Research.

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan seterusnya kos pengangkutan akan memberi tekanan kepada harga makanan yang dijangka meningkat dalam tempoh terdekat ini memandangkan jangkaan pelarasan kedua subsidi bagi petroleum dan produk berkaitan lain.

"Indeks Harga Pengguna (IHP) diunjur meningkat 3.8 peratus pada Ogos, sebelum menyusut ke arah penghujung tahun.

"Bagi tahun penuh, kami menaikkan unjuran inflasi kami kepada 3.5 peratus pada 2014, naik daripada 3.2 peratus yang diunjurkan terdahulu," kata firma itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Pertumbuhan IHP Malaysia stabil pada 3.5 peratus, tahun ke tahun, pada Mac, penstabilan pertama selepas aliran meningkat sejak Januari 2013.

Alliance Research berkata kenaikan harga akan memberi kesan minimum kepada prospek pertumbuhan ekonomi pada 2014, dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal menyokong pertumbuhan.

"Walaupun kami menjangka OPR kukuh bagi tempoh keseluruhan 2014 - berikutan inflasi dorongan kos dalam beberapa bulan ini - kami tidak menolak peluang 50-50 peratus OPR diselaras meningkat sebanyak 25 mata asas sebelum akhir 2014," kata firma itu.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank mengekalkan unjuran pertumbuhan IHP tahun penuhnya pada 3.0 peratus.

"Simulasi bulan ke bulan menunjukkan kadar inflasi kemungkinan meningkat kepada 3.5 peratus dan dijangka kekal pada kadar ini pada April sebelum berkurangan selepasnya apabila kerajaan menangguhkan penghapusan subsidi seterusnya," kata firma penyelidikan itu.

Ia menjangkakan bank pusat menangguhkan kenaikan kadar ke awal 2015, mengekalkan OPR pada 3.0 peratus sepanjang 2014. - Bernama