Khamis, 17 April 2014

IKIAM minta Ali Hamsa buat laporan polis

KSN wajib bertanggung jawab terhadap isu pembocoran maklumat ini 

Datuk Seri Dr Ali Hamsa



PETALING JAYA: Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa (gambar) membuat laporan polis mengenai pembocoran maklumat di pejabat Timbalan Perdana Menteri kepada dua ahli parlimen DAP.

Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa IKIAM, Fakhrul Azman Abu Bakar, KSN wajib bertanggungjawab dan perlu mengambil tindakan yg drastik bagi mencari dalang dalam kerajaan yang membocorkan dokumen yang tidak sah tentang jadual lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 April lalu.

“Walhal dokumen itu tidak sah dan bukan jadual sebenar lawatan kerja Muhyiddin sebaliknya ia adalah draf awal program yang masih dalam perbincangan dan tidak muktamad,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini ahli parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan ahli parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong telah mendedahkan Muhyiddin lebih mengutamakan acara golf daripada majlis rasmi ketika berada di UAE itu.

Menurut mereka, Ketua Audit Negara perlu menyiasat bukan sahaja lawatan Muhyiddin ke Dubai ini, tetapi juga mana-mana perjalanan lain Muhyiddin yang dilakukan oleh beliau sejak kebelakangan ini.

Kedua-dua ahli parlimen DAP itu berkata rakyat mempunyai hak untuk tahu siapa yang membiayai kos untuk perjalanan mewah ini, termasuk kos “pesawat khas,” penginapan di hotel lima bintang Shangri-La Dubai untuk keseluruhan rombongan, dan kos lain berkaitan yang akan ditanggung oleh Kerajaan, termasuk Kementerian Pendidikan, Education Malaysia, TalentCorp (yang menaja makan malam diaspora Malaysia pada 11 April) dan Jabatan Perdana Menteri (di mana Pejabat TPM diletakkan).

Fakhrul menambah perbelanjaan program acara golf dibiayai sepenuhnya oleh syarikat persendirian dan bukannya wang rakyat seperti yang didakwa oleh dua ahli parlimen DAP itu.

“Saya mahu polis siasat kes ini dan biar pegawai kerajaan yang membocorkan dokumen itu dihukum dengan setimpalnya,” katanya lagi.

Tiada ulasan: