Khamis, 24 April 2014

Detik terakhir saya bersama Pa: Ramkarpal Singh

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Pemergian Karpal Singh turut dirasai sebahagian besar rakyat Malaysia kerana ketokohan beliau sebagai seorang pengamal undang-undang dan pemimpin politik. - Gambar fail The Malaysian Insider, 24 April, 2014.Pemergian Karpal Singh turut dirasai sebahagian besar rakyat Malaysia kerana ketokohan beliau sebagai seorang pengamal undang-undang dan pemimpin politik. - Gambar fail The Malaysian Insider, 


Seminggu selepas kemalangan tragis yang mengorbankan peguam dan ahli politik veteran Karpal Singh dan pembantu peribadinya, Micheal Cornelius, anaknya Ramkarpal menceritakan saat-saat akhir bersama bapanya pada hari malang itu. Ini kisah beliau seperti yang diceritakan kepada Penolong Pengarang Berita The Malaysian Insider, V Anbalagan.

"Ibu dan ayah (Gurmit dan Karpal) pergi ke Hospital Pantai kira-kira jam 8 malam pada hari Rabu (16 April) untuk melawat adik saya Gobind (Singh Deo) yang dimasukkan ke wad.

Mereka meninggalkan pejabat ayah saya kira-kira jam 8 malam di Jalan Pudu Lama bersama Micheal Cornelius dan pemandu V Selva. Keempat-empat mereka pulang (di Bukit Ledang, Damansara) pada kira-kira jam 10 malam dan makan malam.

Pa, Michael, Selvam, pembantu rumah kami (Selfiana Rengga) dan saya bertolak malam itu untuk ke Pulau Pinang. Pa dan saya akan menghadiri  perbicaraan di mahkamah pada hari berikutnya untuk mewakili klien yang didakwa atas tuduhan membunuh.

Rancangan hujung minggu untuk berada di Pulau Pinang juga bertujuan untuk Pa berjumpa pengundi Bukit Gelugor dan menyediakan petisyen rayuan bagi kes liwat Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

Sebelum bertolak, Pa memberitahu Michael untuk membawa beliau ke taman. Kami berpindah ke rumah ini enam bulan lalu dan Pa sangat menyukai tamannya.

Bersiar di sekitar taman bukanlah perkara luar biasa bagi Pa dan beliau sekali-sekala melakukannya. Kami kemudian bertolak kira-kira jam 11.30 malam.

Pa duduk di hadapan sebelah pemandu (mereka menaiki Toyota Alphard). Michael duduk di belakang ayah. Saya duduk di sebelah Michael. Pembantu rumah duduk seorang diri di bahagian belakang.

Kami keluar melalui tol Jalan Duta sekitar tengah malam dan lebih kurang 20 minit kemudian saya bercakap dengan Pa tentang beberapa kes, termasuk perkara  yang beliau hadiri di Mahkamah
Rayuan awal hari itu dan isu-isu politik yang dihadapi negara.

Seperti biasa, beliau akan berjenaka.

Perlahan-lahan perbualan kami beransur senyap. Saya masih terjaga dan cuba untuk bercakap dengan Pa tetapi dia hanya membalas dengan dengusan.

Michael tidur nyenyak, dan begitu juga pembantu rumah.

Saya cuba melelapkan mata tetapi tidak dapat walaupun sudah bersenam pada sebelah petang.

Saya memaklumkan kepada Selvam, saya akan mengambil alih memandu jika dia mahu tidur tetapi pemandu itu menjawab tidak mengapa.

Keadaan kenderaan yang mengakibatkan kematian kepada Karpal Singh dan pembantu peribadinya Micheal. - Gambar fail The Malaysian Insider, 24 April, 2014.Keadaan kenderaan yang mengakibatkan kematian kepada Karpal Singh dan pembantu peribadinya Micheal. - Gambar fail The Malaysian Insider, Memandangkan tiada sesiapa untuk saya lawan berbual, saya memandang ke luar melihat kenderaan yang silih berlalu.

Tiba-tiba Pa terjaga dan meminta Michael membetulkan kedudukan tempat duduknya dan meletakkan bantal di belakang lehernya. Michael melakukan itu.

Sejurus kemudian, kedua-dua mereka menyambung tidur.

Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat dan tersentak di tempat duduk saya dan menyedari kami terlibat dalam kemalangan. Sisi kiri kenderaan kami terkopak.

Saya menjerit dan Selvam membelokkan kenderaan ke kanan sebelum ia berhenti.

Saya kemudian menyedari tiada bunyi atau pergerakan daripada Pa dan Michael. Saya pergi ke tempat duduk depan dan memegang Pa dari belakang, yang masih bertali pinggang di kerusinya, terbaring tidak bergerak. Banyak perkara melintas di fikiran saya dalam beberapa saat itu.
Michael terbaring di luar di jalan raya. Pembantu rumah menjerit.

Tidak lama kemudian beberapa pemandu berhenti untuk membantu kami tetapi saya tidak keluar dari kenderaan kerana saya masih memegang Pa, dengan harapan beliau hanya pengsan.
Ia sangat traumatik. Saya masih memegang Pa, Michael terbaring di luar dan pembantu rumah itu histeria.

Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis berada di tempat kejadian dalam masa beberapa minit dan menyelamatkan pembantu rumah yang terperangkap dengan memotong bumbung kenderaan. Dia masih di hospital Ipoh tetapi dalam keadaan baik.

Selvam dan saya hanya mengalami kecederaan kecil.

Ambulans kemudian tiba dan hanya selepas mereka membawa pembantu rumah baru saya menyedari bapa dan Michael meninggal dunia di tempat kejadian. (Ambulans tidak mengambil mayat).

Satu-satunya yang memujuk hati saya adalah kedua-dua mereka mungkin tidak merasai impak kemalangan itu kerana mereka sedang tidur. Saya fikir mereka terbunuh serta-merta.

Pemandu yang lalu lalang, polis dan bomba sangat memahami dan simpati sepanjang detik-detik sukar itu. Mereka memegang saya kerana saya berdiri di situ menangis.

Sebelum polis mengambil jasad Pa dan Michael, saya menghubungi adik lelaki, Mankarpal dan memaklumkan berita itu kepadanya. Saya pergi ke hospital menaiki kenderaan polis."

Ramkarpal adalah anak ketiga daripada lima orang anak Karpal. Berusia 38 tahun dan masih bujang serta bekerja di firma guaman bapanya, Karpal dan Co. di Pudu, Kuala Lumpur.

Beliau memberitahu The Malaysian Insider masih cuba melupakan kejadian hari itu.

"Ia tidak mudah. Saya mengalami mental block. Ia sukar untuk bekerja tetapi saya perlu menguatkan diri dan menjalankan segala tugas yang ditinggalkannya," katanya.

Kemalangan itu berlaku di KM 301.6 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Kampar, Perak awal pagi Khamis. –

Tiada ulasan: