MALAYSIAKINI
Pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari mendakwa PAS "keliru dan tidak
jelas" berkaitan bidang kuasa dan cara pelaksanaan hudud di negeri itu
ekoran hasrat mereka mahu mengemukakan rang undang-undang persendirian
berkaitannya di Dewan Rakyat.
Katanya lagi, kenyataan pemimpinnya, termasuk Presiden PAS Datuk Seri
Abdul Hadi Awang dan exco Kelantan Dr Fadzli Hassan juga tidak membantu
menjelaskan perkara itu.
"Kalau
PAS Kelantan kata ini kuasa pusat - sebagaimana yang didakwa oleh Dr
Fadzli - kenapa mereka luluskan enakmen itu pada 1993? Kalau dah sedar
itu bukan kuasa negeri mengapa buat undang-undang itu?
"Saya tahu mereka akan jawab ini soal akidah dan tanggungjawab. Soalan
saya kenapa hal itu tidak pernah dijelaskan? Ini yang saya kata Kelantan
gagal merangka rangka dasar dan hala tuju untuk pelaksanaan hukum hudud
ini.
"Pelik. Seperti yang saya katakan tadi kalau dah tahu awak tak ada kuasa
apa yang awak buat benda itu?” soal ahli akademik itu dalam e-mel
balasan kepada Malaysiakini.
Beliau ditanya berhubung tindakan Kelantan mahu membawa rang
undang-undang persendirian bagi membuka laluan kepada pelaksanaan hudud
di Dewan Rakyat.
Abdul Aziz yang juga pensyarah Universiti Selangor (Unisel) berkata
beliau sebelum ini pernah membangkitkan perkara itu dan menawarkan diri
untuk membantu tetapi dipandang sepi.
'OK bila sampai Putrajaya'
Beliau sebaliknya berpandangan pelaksanaan hudud boleh dilaksanakan
apabila Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya dan PAS perlu bersabar serta
menjelas implikasi undang-undang dan politik daripada isu ini.
"Tapi mungkin kerajaan Kelantan ketandusan isu dan parti tertekan kerana
gagal menjelaskan isu ini kepada ahli-ahli. Ini pun pelik juga. Kalau
ahli sendiri pun tak boleh kawal, nak menang macam mana?" sindir Abdul
Aziz.
Sementara itu, beliau juga turut mempersoal mengapa Umno sebagai parti
kerajaan tidak membentang rang undang-undang persendirian itu atau parti
itu dianggap masih belum mengubah sikap tidak mahu melaksanakan hudud
seperti dimaklumi.
"Dengan kata lain Umno hanya buat gimik dan mahu PAS bergaduh dengan DAP dan PKR atau isu ini.
"Dan nasib tak baik PAS akan hilang banyak kerusi di luar Kelantan
kerana insiden ini menampakkan yang PAS sanggup tikam dari belakang,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan