KUALA LUMPUR - Pelaksanaan secara tidak menyeluruh, kegagalan menyediakan kajian awal serta tiada pemantauan secara terperinci terhadap kontraktor menjadi antara punca projek penggalian dan pengindahan sungai di beberapa daerah di Johor kurang memuaskan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, semakan audit yang dijalankan antara bulan Jun hingga September tahun lalu mendapati pada keseluruhannya pengurusan penggalian kuala-kuala sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor kurang memuaskan kerana kelemahan itu.
Spesifikasi kerja projek penggalian kuala-kuala sungai bagi daerah Muar dan Batu Pahat tidak dinyatakan dengan jelas seperti kedalaman, kecerunan, kelebaran dan tiada item pengukuran selepas kerja siap.
Menurut laporan itu lagi terdapat juga penggalian dengan kaedah yang kurang berkesan sebagai contoh meletakkan lumpur serta pasir yang digali seperti di sepanjang tebing di Kuala Parit Simin, Batu Pahat.
Berdasarkan makluman melalui temu bual audit dengan nelayan-nelayan di kawasan Parit Amal dan Parit Jawa pada September tahun lalu mengesahkan sungai di kawasan terbabit tidak pernah digali oleh JPS Muar sehingga mendatangkan masalah kepada bot nelayan.
Berkenaan isu itu, JPS dalam satu maklum balas kepada audit menyatakan kerja penggalian tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh kerana kekurangan peruntukan dan kerja penggalian hanya dibuat berdasarkan masalah paling kritikal dan memerlukan tindakan segera.
Bagi aduan nelayan di Parit Jawa pula, JPS menjelaskan kuala terbabit tidak digali, kerana kos yang sangat tinggi melibatkan anggaran RM2 juta selain mengambil kira kuala tersebut masih boleh dilalui nelayan sekiranya mengikut jadual pasang surut air.
JPS Negeri Johor memperuntukkan sejumlah RM2.70 juta kepada JPS Daerah Muar, Batu Pahat dan Pontian bagi tahun 2010 hingga 2012 untuk melaksanakan projek penggalian kuala-kuala dan pengindahan sungai.
Sehingga Disember 2012, sejumlah RM2.11 juta dibelanjakan untuk projek penggalian sungai manakala bakinya untuk projek pengindahan sungai.
Skop kerja penggalian kuala sungai merangkumi kerja mengorek, mendalam, melebar keratan sungai, memperelok dan mencuci aliran sungai.
Sehubungan itu, laporan itu mengesyorkan kepada JPS agar membuat kajian awal merangkumi profil sungai, mengkaji masa yang paling sesuai untuk penggalian kuala sungai dan mengenal pasti kaedah penggalian dan pembuangan sisa yang lebih berkesan supaya sungai digali tidak kembali cetek dalam masa yang singkat.
Laporan juga mencadangkan supaya JPS menyediakan spesifikasi kerja yang lebih jelas dan terperinci merangkumi kaedah penyenggaraan dan pengukuran selepas kerja siap iaitu kedalaman, kecerunan dan kelebaran kuala-kuala sungai yang digali.
Selain itu JPS juga dicadang memohon peruntukan kewangan berdasarkan keutamaan kuala-kuala sungai yang kerap menghadapi masalah cetek dan berlumpur. - Bernama
No comments:
Post a Comment